Advertisement

Dr. Ahmad Maslan Sumbang RM20,000, Seru Alumni UUM Jadi Pembina Masyarakat

SINTOK – Alumni Universiti Utara Malaysia (UUM) diseru terus memainkan peranan sebagai pembina masyarakat, membangunkan bangsa usahawan serta memperkukuh jalinan sinergi bagi memberikan manfaat lebih besar kepada universiti dan masyarakat.

Seruan tersebut disampaikan oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan yang turut menyumbangkan RM20,000 kepada alumni UUM sebagai tanda sokongan terhadap usaha memperkukuh peranan alumni dalam membantu universiti.

Sumbangan itu diumumkan beliau ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Makan Malam Amal Alumni yang berlangsung di Dewan Mu’adzam Shah, UUM.

“Saya melihat pada malam ini terdapat rakan-rakan yang ingin membantu UUM. Maka, saya juga ingin membantu. Dengan ini, saya ingin memberikan sumbangan daripada dana yang saya usahakan sebanyak RM20,000 kepada alumni UUM,” katanya.

Beliau berkata, sokongan yang dizahirkan alumni perlu diteruskan melalui kerjasama dan jalinan yang lebih kukuh bagi mewujudkan ekosistem alumni yang mampu menyumbang secara berterusan kepada kemajuan universiti.

Dalam pada itu, beliau menyeru alumni UUM supaya tidak hanya mengejar kejayaan dalam kerjaya, sebaliknya tampil sebagai pembina masyarakat (community builder) dalam lingkungan pengaruh masing-masing.

Menurut beliau, peranan tersebut boleh dilaksanakan tanpa mengira bidang sama ada dalam sektor kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dunia akademik mahupun komuniti setempat.

“Senang untuk kita ingat pembina masyarakat sebagai PM, iaitu Pembina Masyarakat. Jadilah PM-PM kecil dalam ruang lingkup circle of influence kita masing-masing,” katanya.

Beliau turut mengajak alumni memperkukuh budaya keusahawanan dengan bersama-sama membina bangsa usahawan (Entrepreneurial Nation) bagi melahirkan lebih ramai usahawan yang mampu mencipta kekayaan serta menyumbang kepada ekonomi.

Selain itu, beliau menekankan kepentingan jalinan sinergi (synergistic networking) dalam kalangan alumni bagi menggabungkan kekuatan, pengalaman dan kepakaran untuk menghasilkan impak yang lebih besar.

Mengambil konsep sinergi yang diketengahkan Prof. Stephen Covey menerusi buku The 7 Habits of Highly Effective People, beliau menjelaskan bahawa gabungan kekuatan dua pihak atau lebih mampu menghasilkan sesuatu yang lebih cemerlang.

Majlis Makan Malam Amal Alumni tersebut turut diserikan dengan penyampaian beberapa rangkap pantun khas daripada Dr. Ahmad Maslan yang menceriakan suasana seluruh majlis.