Advertisement

Dapur Siswa MADANI@KAB Agih 200 Pek Makanan, Meringankan Beban Mahasiswa UPSI Hadapi Peperiksaan Akhir

oleh: Mohammad Arsyad & Abdul Rahman

TANJONG MALIM, 9 September – Seramai 22 orang sukarelawan berganding bahu menyediakan 200 pek makanan menerusi inisiatif Dapur Siswa MADANI@KAB bagi mengurangkan beban kebajikan mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Program ini digerakkan secara bersama oleh Jawatankuasa Dapur Siswa dan Majlis Mahasiswa Kolej Aminuddin Baki (KAB) bagi menjayakan proses penyediaan hingga pengagihan makanan kepada pelajar.

Agihan pek makanan kepada mahasiswa Kolej Aminudin Baki

Bagi pelaksanaan minggu ini, menu yang disediakan merangkumi nasi putih, ayam kicap, sayur kobis, dan teh o ais. Pemilihan hidangan yang berkhasiat dan mengenyangkan ini diharap dapat membantu menampung keperluan pemakanan mahasiswa, terutamanya mereka yang sedang menduduki peperiksaan akhir.

Pengetua Kolej Aminuddin Baki, Zulkifli Mamat, berkata sumbangan ini membawa impak positif dalam memastikan pelajar mendapat bekalan makanan secukupnya.

Penyedian awal bagi masakan sayur kobis dan lobak merah

“Walaupun sumbangan ini kelihatan sederhana, kami berharap ia dapat memberi kelegaan dan menyuntik semangat kepada mahasiswa yang sedang menduduki peperiksaan untuk terus berusaha mencapai kejayaan akademik,” katanya.

Inisiatif Dapur Siswa MADANI merupakan usaha berterusan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam memperkukuh agenda kebajikan pelajar serta menangani isu kos sara hidup di kampus.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir, sebelum ini menegaskan bahawa program Dapur Siswa MADANI bukan sekadar menyediakan makanan, malah mencerminkan komitmen berterusan kerajaan terhadap kesejahteraan mahasiswa di institusi pengajian tinggi (IPT).

Komitmen padu para sukarelawan sepanjang program ini membuktikan bahawa kebajikan warga kampus adalah tanggungjawab bersama. Melalui pelaksanaan berterusan, Dapur Siswa MADANI@KAB diharap dapat terus memperkasakan persekitaran pembelajaran yang sejahtera dan kondusif buat seluruh mahasiswa UPSI.