oleh Mohamad Shuib Ismail
TANJONG MALIM, 14 September 2026 – Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) meneruskan komitmen dalam memperkasa agenda kebajikan mahasiswa menerusi pelaksanaan Dapur Kasih Bitara Edisi Khas: Pendaftaran Pelajar Baharu Ambilan 2026 pada hari ini.
Menerusi inisiatif tersebut, sebanyak 1,000 pek makanan percuma disediakan khas kepada ibu bapa dan penjaga pelajar baharu yang hadir ke UPSI bagi mengiringi proses pendaftaran diri anak masing-masing.
Menu ayam masak kicap dan sayur goreng kunyit disediakan oleh seramai 20 orang sukarelawan yang terdiri daripada warga BHEP dan Kolej Kediaman Aminuddin Baki (KAB), sebagai tanda prihatin UPSI terhadap kebajikan keluarga yang hadir dari pelbagai negeri.

Program tersebut diketuai oleh Puan Hjh. Maskana binti Ahmad, Ketua Timbalan Pendaftar BHEP, dan turut disertai Encik Zulkifli bin Mamat, Pengetua Kolej KAB, bersama warga kerja serta sukarelawan yang berganding bahu memastikan penyediaan dan pengagihan makanan berjalan lancar.
Menurut Puan Hjh. Maskana, pelaksanaan Dapur Kasih Bitara Edisi Khas ini merupakan sebahagian daripada usaha BHEP untuk memastikan kebajikan bukan sahaja diberikan kepada mahasiswa, malah turut dirasai oleh keluarga yang hadir bersama mereka.
“Hari pendaftaran merupakan satu detik yang cukup bermakna bagi setiap pelajar dan keluarga. Justeru, Dapur Kasih Bitara Edisi Khas ini menjadi salah satu cara UPSI menzahirkan penghargaan dan keprihatinan kepada ibu bapa serta penjaga yang hadir, khususnya mereka yang datang dari jauh.”

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua sukarelawan yang meluangkan masa dan tenaga bagi menjayakan inisiatif tersebut.
“Penyediaan 1,000 pek makanan ini bukan sekadar menyediakan makanan percuma, tetapi membawa mesej bahawa UPSI sentiasa mengambil berat dan berusaha untuk menyantuni komuniti universiti, termasuk keluarga pelajar baharu.”
Dapur Kasih Bitara merupakan antara inisiatif kebajikan BHEP yang memberi fokus kepada penyediaan makanan percuma kepada mahasiswa sebagai usaha membantu meringankan beban kewangan serta memastikan kebajikan dan keperluan asas mahasiswa terus diberi perhatian.

Pelaksanaan edisi khas sempena pendaftaran pelajar baharu ini turut memperlihatkan semangat gotong-royong dan kesukarelawanan warga UPSI, sekali gus mencerminkan budaya penyayang dan prihatin yang menjadi sebahagian daripada ekosistem kampus.
Inisiatif tersebut diharapkan dapat memberikan sedikit keceriaan dan keselesaan kepada ibu bapa serta penjaga yang hadir, di samping menjadi tanda sambutan mesra UPSI kepada seluruh keluarga pelajar baharu Ambilan 2026.












