Oleh : Mohd Izzat bin Shafie @ Mohd Alias
KUALA LUMPUR, 21 April 2026 – Program Chit Chat Madani bertajuk “Leading Excellence With Soul” berjaya menghimpunkan hampir 120 orang mahasiswa Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) bersama dua tokoh Ahli Parlimen dalam sesi perkongsian kepimpinan yang berlangsung di Parlimen Malaysia.

Gambar 1: Sepanjang Perjalanan Program
Program tersebut menampilkan YB Dato’ Sri Sh Mohmed Puzi bin Sh Ali, Ahli Parlimen Pekan dan YB Puan Hajah Rodziah binti Ismail, Ahli Parlimen Ampang yang berkongsi pengalaman serta pandangan berkaitan kepimpinan, integriti dan kecemerlangan berteraskan nilai kemanusiaan.
Program yang berlangsung selama satu jam ini turut mengetengahkan Saudara Muhammad Amir Firdaus bin Mohd Yuslin yang bertindak selaku moderator program bagi mengendalikan sesi perbincangan dan dialog secara interaktif bersama para panel dan mahasiswa.
Pelaksanaan program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Program Libat Urus Mahasiswa Bersama Kepimpinan Negara hasil kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Kelab Penyokong-Penyokong Kerajaan (Backbenchers Club-BBC), Yayasan Perkasa Siswa dan UMPSA.
Antara tujuan utama program adalah untuk menyediakan platform utama kepada mahasiswa untuk bersemuka dan berdialog secara langsung bersama kepimpinan negara melalui sesi interaktif, perkongsian pengalaman dan soal jawab terbuka.

Gambar 2: Sesi gambar kenangan program
Mahasiswa yang hadir telah mengambil peluang sebaiknya dengan mengemukakan pelbagai pandangan dan persoalan berkaitan isu kepimpinan mahasiswa, pembangunan negara serta peranan generasi muda dalam landskap Malaysia MADANI.

Gambar 3: Antara barisan kepimpinan mahasiswa UMPSA.
Penganjuran program seumpama ini diharap dapat menjadi platform berterusan dalam membentuk mahasiswa yang mampu memimpin dengan nilai, hikmah dan kecemerlangan demi masa depan negara selain memperlihatkan komitmen berterusan KPT dalam memperkasa agenda pembangunan kepimpinan mahasiswa menerusi kolaborasi strategik bersama institusi pendidikan tinggi.
.












