Oleh : Mohd Khairul Effendi Che Wan
PADANG TERAP, 30 SEPTEMBER 2026 – Cabaran keluarga tidak menghalang Muhammad Adam Haris bin Abdullah untuk meneruskan pengajian di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), malah kecekalan beliau membolehkannya melangkah daripada Diploma ke peringkat Sarjana Muda dalam bidang Kejuruteraan Elektronik.
Adam Haris merupakan bekas pelajar Diploma Kejuruteraan Elektronik UniMAP dan kini mengikuti Program Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik dengan Kepujian di universiti yang sama.
Anak angkat sejak berusia tujuh bulan itu melalui beberapa ujian keluarga termasuk kehilangan ayah angkat, sebelum ibu angkatnya pula terlibat dalam kemalangan yang mengakibatkan patah tangan dan kaki.

Dalam berdepan cabaran tersebut, Adam menerima Dermasiswa B40 TVET Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) serta Bantuan Awal Pengajian UniMAP, yang membantu meringankan beban kewangan keluarga dan menyokong kelangsungan pengajiannya.
Sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kebajikan mahasiswa, Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) bersama Fakulti Kejuruteraan & Teknologi Elektronik, UniMAP turut mengadakan kunjungan Ziarah Kasih ke kediaman Adam di Padang Terap bagi menyantuni beliau dan keluarganya.
Kunjungan itu diketuai Pengarah JHEP, Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Mohamad Syahmie Mohamad Rasidi, bersama Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Elektronik (FKTEN), Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Mohamed Nasrun Osman, serta wakil pengurusan fakulti dan JHEP.

Kunjungan berkenaan mencerminkan komitmen UniMAP untuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan mahasiswa sentiasa diberi perhatian, khususnya mereka yang berdepan cabaran kewangan dan keluarga.
UniMAP akan terus memperkukuh ekosistem sokongan mahasiswa melalui pelbagai inisiatif kebajikan dan pendekatan turun padang bagi memastikan cabaran kehidupan tidak menjadi penghalang kepada mahasiswa untuk meneruskan pengajian serta mencapai cita-cita.1












