Advertisement

Bukan Apa Yang UiTM Beri, Tetapi Apa Yang Mahasiswa Mampu Sumbangkan

Oleh: Hairul Reazuan Asmayadi

SHAH ALAM, 25 September 2026 – Mahasiswa baharu Universiti Teknologi MARA (UiTM) diseru mengubah cara berfikir daripada sekadar mengharapkan apa yang boleh diberikan oleh universiti kepada mempersiapkan diri untuk menyumbang kepada pembangunan UiTM, masyarakat dan negara.

Seruan itu disampaikan oleh Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib@Sahibuddin ketika menyampaikan Amanat Naib Canselor sempena Majlis Perasmian Minggu Destini Siswa (MDS) Sesi September 2026 di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam. 

Datuk Profesor Shahrin diiringi YDP MPP bersalaman dengan mahasiswa baharu UiTM.

Beliau berkata, kemasukan ke universiti bukan sekadar permulaan perjalanan akademik, malah membawa amanah untuk membentuk jati diri, menghargai pengorbanan keluarga dan meneruskan legasi kecemerlangan yang dibina UiTM sejak tujuh dekad lalu. 

“Persoalannya bukan sekadar apakah yang UiTM akan berikan kepada anda sepanjang beberapa tahun akan datang. Saya mahu anda juga bertanya kepada diri sendiri: ‘Apakah yang saya akan sumbangkan kepada UiTM?’ Peliharalah nama baik UiTM melalui sikap, tindakan dan pencapaian anda,” katanya. 

Menurut beliau, setiap mahasiswa merupakan duta UiTM yang membawa identiti universiti bukan sahaja di dalam kampus, malah ketika menjalani latihan industri, berkhidmat kepada masyarakat dan berinteraksi di media sosial. 

Datuk Profesor Shahrin ketika menyampaikan ucapan di hadapan lebih 40 ribu mahasiswa di dalam dewan dan secara dalam talian.

Beliau turut mengingatkan bahawa kebanggaan terhadap UiTM perlu diterjemahkan melalui kecemerlangan akademik, sahsiah terpuji, integriti, disiplin, keberanian dan kesediaan menyumbang kepada masyarakat, bukannya sekadar slogan atau kata-kata.

Dalam amanat tersebut, beliau turut mengajak mahasiswa mengenali sejarah dan perjuangan UiTM yang telah melahirkan ramai tokoh dalam pelbagai bidang sebagai inspirasi untuk meneruskan kecemerlangan generasi terdahulu. 

Dunia pekerjaan kini menuntut graduan yang bukan sahaja memiliki ijazah, tetapi turut menguasai kemahiran kepimpinan, komunikasi, penyelesaian masalah, keupayaan menyesuaikan diri serta penggunaan teknologi dan kecerdasan buatan (AI) secara beretika dan bijaksana. 

Sehubungan itu, mahasiswa digalakkan merebut setiap peluang untuk menyertai persatuan, program kepimpinan, kesukarelawanan, inovasi, keusahawanan serta jaringan industri bagi memperkukuh pengalaman dan meningkatkan kebolehpasaran selepas bergraduat. 

“Saya mahu anda melangkah keluar dari UiTM sebagai insan yang lebih berilmu, lebih matang, lebih berani, lebih berintegriti dan lebih bersedia untuk memimpin,” katanya. 

Beliau turut mengingatkan mahasiswa agar sentiasa menghargai peluang yang diberikan, mengingati pengorbanan keluarga, menjaga nama baik universiti serta mempersiapkan diri sebagai penyambung legasi UiTM yang akan mencorakkan masa depan negara. 

Naib Canselor menyaksikan lafaz ikrar pelajar baru.

Majlis Perasmian MDS Sesi September 2026 menjadi titik permulaan kepada perjalanan ribuan mahasiswa baharu UiTM untuk membina ilmu, sahsiah dan kepimpinan, sekali gus menyemai kesedaran bahawa kejayaan sebenar bukan hanya diukur melalui apa yang diterima sepanjang bergelar mahasiswa, tetapi juga melalui sumbangan yang mampu ditinggalkan kepada universiti, masyarakat dan negara. 

Total Views: 57