Teks: Ummi Nur Rizwanny Mohd Ali
Semakan teks: Sektor Keusahawanan dan Inovasi BHEPA
Foto: UPSI / Dokumentasi Projek Beranda Limas USM-UTC 3.0
Suntingan: Unit Media dan Penerbitan BHEPA

PULAU PINANG 30 Oktober 2026 – Projek Beranda Limas yang diusahakan oleh Ikatan Mahasiswa/i Johor (IKMAR), Universiti Sains Malaysia (USM), melakar kejayaan apabila meraih Anugerah Khas Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) Kategori Emas bernilai RM2,000.00 sempena Majlis Penutupan Program Keusahawanan University to Community (UTC) 3.0 di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Perak.
Majlis tersebut telah dirasmikan oleh YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry bin Abdul Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi, sekali gus menjadi platform pengiktirafan terhadap inisiatif keusahawanan mahasiswa yang menghubungkan ilmu dengan keperluan komuniti serta membuka peluang ekonomi berimpak sosial.
Pengiktirafan ini menyerlahkan keupayaan mahasiswa USM menterjemahkan ilmu keusahawanan kepada inisiatif berimpak sosial, selaras dengan matlamat UTC 3.0 untuk merapatkan hubungan antara institusi pengajian tinggi dengan komuniti melalui perkongsian ilmu, pembangunan kemahiran dan penciptaan peluang ekonomi.


Mengangkat misi “Peluang Kedua”, Beranda Limas melaksanakan pemindahan ilmu keusahawanan sosial kepada komuniti PROSPEK di institusi penjara melalui penghasilan dan penjualan makanan sejuk beku tradisional Malaysia, sekali gus membuka ruang kepada peserta menguasai kemahiran baharu, menjana pendapatan dan membina keyakinan diri sebagai persediaan untuk kembali ke masyarakat.
Melalui bimbingan mentor, Puan Hajar Zituakmar Mohd Fauzi, Sektor Keusahawanan dan Inovasi , Pusat Pembangunan Pelajar BHEPA, projek ini diterajui oleh Amirul Feroz Humayun Kabir, pelajar Tahun 4, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Ummi Nur Rizwanny Mohd Ali, pelajar Tahun 3, Pusat Pengajian Komunikasi, dan Nurasyura Suhaimi, pelajar Tahun 3, Pusat Pengajian Sains Kajihayat.
Dari perspektif inovasi sosial, Beranda Limas menggabungkan penghasilan produk makanan, pemerkasaan individu dan penceritaan digital untuk mencabar stigma masyarakat terhadap individu yang sedang menjalani proses pemulihan, di samping memperkukuh kelestarian perusahaan melalui peluasan saluran pemasaran dan penggunaan semula keuntungan bagi menyokong latihan serta pembangunan peserta.
Inisiatif ini menyokong SDG 10: Mengurangkan Ketidaksamarataan melalui usaha memperluas peluang ekonomi dan pemerkasaan sosial kepada komuniti sasaran, selaras dengan slogan “Sokong kami bukan sekadar membeli makanan, tetapi membeli peluang kedua,” yang mencerminkan komitmen Beranda Limas menjadikan keusahawanan sebagai pemangkin perubahan ke arah kehidupan yang lebih berdikari.












