Advertisement

Bengkel PPIK Leadership Perkukuh Kepimpinan Exco Baharu

Teks/foto: Exco Persatuan Pelajar Ilmu Kemanusiaan (PPIK)

Suntingan : Unit Media dan Penerbitan BHEPA USM

PULAU PINANG, 26 Oktober 2026 – Seramai 73 orang Exco Persatuan Pelajar Ilmu Kemanusiaan (PPIK), Universiti Sains Malaysia, menyertai Bengkel PPIK Leadership di Dewan Pembangunan Siswa 2 bagi memperkukuh kepimpinan dan memantapkan pengurusan persatuan bagi sesi akademik 2026/2027.

Bengkel yang berlangsung pada 21 Oktober 2026 itu memfokuskan pemantapan kepimpinan dan integriti mahasiswa menerusi perkongsian ilmu, pembangunan kemahiran insaniah, pengurusan kewangan dan pentadbiran persatuan serta perbincangan berkumpulan bagi meningkatkan keupayaan Exco merancang program, menyelesaikan masalah dan melaksanakan tanggungjawab secara profesional.

Abdul Rahman dalam sesi perkongsiannya mengingatkan Exco baharu agar menggalas amanah dengan penuh komitmen dan integriti

Penasihat PPIK, Dr. Abdul Rahman Mad Ali@Abang, dalam sesi perkongsiannya mengingatkan Exco baharu agar menggalas amanah dengan penuh komitmen dan integriti, mengutamakan kepentingan persatuan, bersikap terbuka dalam menerima pandangan serta bijak menangani cabaran melalui perbincangan dan keputusan bersama.

Beliau turut menegaskan bahawa kepimpinan yang berkesan menuntut sikap bertanggungjawab, kesediaan untuk bekerjasama dan keupayaan menjadi teladan bagi memastikan kelangsungan serta kecemerlangan persatuan.

Pengarah Projek merangkap Yang Dipertua PPIK, Muhammad Farhan Mohd Fitri, pula menekankan bahawa komunikasi berkesan, kesepakatan dan kerjasama berpasukan merupakan asas penting dalam menyelaraskan gerak kerja Exco serta memastikan setiap perancangan mencapai objektif yang ditetapkan.

Turut hadir ialah penasihat PPIK, Encik Khairul Aswad Abd Aziz, serta wakil Mantan Majlis Tertinggi PPIK bagi sesi akademik 2025/2026, Saudari Siti Norkhatyjah Abu Bakar.

Penganjuran bengkel ini selari dengan Agenda H.E.B.A.T. USM dalam membangunkan mahasiswa yang holistik, berketerampilan dan berdaya saing melalui pemantapan kepimpinan, komunikasi serta keupayaan mengurus organisasi secara berkesan.

Total Views: 3