Oleh : Siti Ruhaida Mohamed Radhi, Unit Media dan Penerbitan BHEPA USM
Foto: Julita Balqis Badrul Munir, Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan (Sains Politik)

PULAU PINANG, 25 Oktober 2026 – Tahniah diucapkan kepada Julita Balqis Badrul Munir, mahasiswa Universiti Sains Malaysia atas kejayaan terpilih sebagai salah seorang daripada 12 penerima Anugerah Siswi Cemerlang 2026 yang berlangsung di Kristal Ballroom 1, Hilton Petaling Jaya, pada 24 Oktober 2026.
Julita, yang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan (Sains Politik) dipilih berdasarkan kriteria yang menitikberatkan kecemerlangan akademik serta penglibatan aktif dalam kokurikulum, di samping sahsiah terpuji, pemikiran rasional, kritis dan kreatif serta sumbangan dalam khidmat masyarakat.
Anugerah tersebut disampaikan oleh Penaung Persatuan Siswazah Wanita Malaysia (PSWM), Toh Puan Dato’ Seri Hjh. Dr. Aishah Ong, bersempena dengan Majlis Penyampaian Anugerah Siswi Cemerlang 2026 dan Anugerah Kecemerlangan Tun Dr. Hasmah Mohd Ali 2025.


Pengiktirafan tersebut turut disertai pemberian wang tunai berjumlah RM2,000 dan sijil penghargaan sebagai penghargaan terhadap pencapaian dan potensi Julita dalam pelbagai bidang.
Turut hadir ialah Puan Siti Meszaida Mohd Ehsan, Ketua Unit Kebajikan BHEPA USM, bagi meraikan pencapaian tersebut.
Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni USM, turut merakamkan ucapan tahniah kepada Julita atas kejayaan tersebut yang mencerminkan kecemerlangan mahasiswa dalam mengimbangi pencapaian akademik, pembentukan sahsiah dan penglibatan aktif dalam pelbagai bidang.












