UUM ONLINE: Pusat Alumni Universiti Utara Malaysia (UUM) menganjurkan Majlis Kenduri Alumni Mai Balik UUM 2.0: ‘The Legacy of Giving’ dengan penyertaan 20 kenderaan konvoi alumni, sekali gus menyemarakkan lagi penganjuran program yang menghimpunkan alumni bagi memperkukuhkan hubungan berterusan dengan alma mater.
Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata, kepulangan alumni ke UUM bukan sekadar untuk mengenang kenangan lalu, sebaliknya menjadi simbol hubungan yang terus terjalin serta peluang untuk bersama-sama membina masa hadapan universiti.

Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa kepulangan alumni ke UUM bukan sekadar untuk mengenang kenangan lalu, sebaliknya menjadi simbol hubungan yang terus terjalin serta peluang untuk bersama-sama membina masa hadapan universiti.
Menurutnya, Alumni Learning and Training Centre (ALTRAC) bukan sekadar sebuah ruang fizikal, tetapi berperanan sebagai ruang pertemuan, perkongsian ilmu dan platform untuk alumni kembali menyumbang kepada universiti.
Beliau turut menggalakkan alumni memanfaatkan kemudahan ALTRAC bagi menjalankan pelbagai aktiviti bersama pelajar, termasuk berkongsi pengalaman, membimbing serta membuka ruang jaringan dan peluang kepada mereka.

“Datanglah ke UUM. Gunakanlah kemudahan yang telah disediakan. Bawalah pengalaman tuan-tuan dan puan-puan untuk dikongsikan dengan mahasiswa,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Penolong Naib Canselor UUM CAS, Prof. Dr. Ts. Osman Ghazali, Jumaat lalu.
Dalam pada itu, majlis berkenaan turut menyaksikan penyerahan sumbangan daripada Alumni UUM Sarawak (AURAS) bernilai RM4,000 kepada UUM.
Dr. Ahmad Martadha turut menekankan bahawa penglibatan alumni boleh diperluaskan melalui pelbagai platform termasuk aktiviti akademik, kebajikan, keusahawanan, sukan, rekreasi dan komuniti.
Beliau berharap agar Mai Balik UUM 2.0 menjadi titik permulaan kepada lebih banyak program dan kolaborasi antara alumni, pelajar dan universiti pada masa akan datang, sekali gus menjadikan ALTRAC sebagai pusat yang aktif dengan perkongsian ilmu, interaksi, aktiviti dan sumbangan alumni.












