Advertisement

AIR MATANYA SAMA JERNIH, MESKI BERLAINAN SEJADAH

Di bawah bumbung sederhana itulah, jari-jemari tua yang kian berkedut membesarkan Nur Hazizah binti Indrasafri bersama dua adiknya menjadi benteng paling kukuh tatkala gelombang ujian melanda hidup mereka sejak kecil.

Nur Hazizah bersama neneknya
Nur Hazizah bersama neneknya

Air mata mereka sama jernih.

Pusaran takdir menuntut Hazizah menjadi dewasa sebelum waktunya.

Selepas pemergian bapa tercinta, ibunya berkahwin lain dan membawa jalan hidup bersama suaminya.

Kehadiran ibu yang menjengah sekali-sekala meninggalkan ruang kosong yang perit.

Namun, dalam ruang kesepian itu, nenek biologinya etnik Cina berdiri tanpa sekelumit penyesalan, memikul peranan sebagai ayah, ibu, dan pelindung.

Walau berbeza iktikad, neneknya memastikan akidah cucu-cucunya tidak goyah, termasuk memimpin kaki kecil Hazizah ke sekolah agama dengan dorongan jiran tetangga.

Di dapur, pinggan cucu-cucunya hanya diisi dengan hidangan yang diyakini halal kerana neneknya memahami perbezaan tersebut.

Malah setiap kali Hazizah cuba menghulur tangan memotong bahan masakan, neneknya menahan dengan lembut kerana takut melihat jemari cucu kesayangannya luka.

Kasih neneknya tidak pernah dipahat dalam bait-bait kata, tetapi hadir nyata dalam setiap suapan, perlindungan, dan azam Hazizah untuk belajar bersungguh-sungguh hingga menamatkan diploma dengan PNGK 3.89.

Demi menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Hospitaliti di Universiti Utara Malaysia (UUM), Hazizah membanting tulang di sebuah hotel serta menerima bantuan yuran pendahuluan daripada ibu seorang rakan.

Kelesuan mereka akhirnya disinari kehangatan menerusi Program Ziarah Kasih Madani KPT-UUM.

Ketika Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed, bertanya sama ada berat untuk melepaskan cucunya merantau jauh ke utara, wanita tua itu memberi jawapan ringkas namun ikhlas: “Kalau dia suka belajar, biarlah dia belajar.”

Menerusi keprihatinan UUM, Hazizah kini terpilih di bawah Program Siswa SULUNG yang membiayai yuran pengajiannya sehingga tamat, berserta bantuan komputer riba, dana kewangan, dan bekalan makanan.

Langkah Hazizah ke kampus UUM kini membawa bersama keringat penat lelah masa lalunya, harapan adik-adiknya, serta doa tulus seorang nenek yang telah menyerahkan seluruh sisa usianya demi melihat kehidupan mereka berubah.

Gambar dan Berita oleh: MUHAMMAD AMIR IKRAM (JOC SELECT)