Advertisement

UTM lancar AI Medical Avatar, perkasa transformasi digital perkhidmatan kesihatan kampus

Oleh : Prof. Madya Dr. Ajune Wanis Ismail

JOHOR BAHRU, 15 Okt. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperkukuh komitmennya dalam memacu transformasi digital menerusi pelancaran AI Medical Avatar di Pusat Kesihatan Universiti (PKU), UTM Johor Bahru, yang disempurnakan oleh Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim.

Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, bersama Prof. Ts. Dr. Wan Mohd Nasir Wan Kadir melihat paparan pada skrin AI Medical Avatar

Turut hadir pada Majlis Pelancaran Projek AI Avatar Pusat Kesihatan Universiti tersebut ialah Penolong Naib Canselor (Kualiti dan Transformasi Digital), Prof. Ts. Dr. Wan Mohd Nasir Wan Kadir. Pelancaran ini menandakan satu lagi pencapaian strategik UTM dalam mengintegrasikan teknologi kecerdasan buatan (AI) ke dalam ekosistem perkhidmatan universiti, khususnya bagi meningkatkan kecekapan operasi, memudahkan urusan pengguna dan memperkukuh pengalaman perkhidmatan kesihatan kampus yang lebih pintar, interaktif serta berorientasikan pengguna.

AI Medical Avatar merupakan inovasi berasaskan kecerdasan buatan yang menggabungkan teknologi avatar digital interaktif dengan keupayaan komunikasi dua hala. Melalui teknologi ini, pengguna boleh mendapatkan maklumat berkaitan perkhidmatan PKU secara langsung menggunakan pertuturan atau input teks, tanpa bergantung sepenuhnya kepada kaedah pertanyaan konvensional.

Inisiatif strategik Pejabat Naib Canselor dengan kerjasama Pusat Kesihatan Universiti (PKU) dan UTM Digital Experience (UTM DX) ini merupakan satu lagi langkah penting dalam memperkasa agenda transformasi digital universiti.

Aplikasi AI Medical Avatar ini telah merealisasikan pembangunan ekosistem kaunter perkhidmatan pintar yang berjaya diintegrasikan dengan sistem pengurusan giliran serta infrastruktur digital universiti. Integrasi ini membolehkan proses pengurusan pesakit dilaksanakan secara lebih sistematik dan responsif, di samping menyokong kelancaran operasi harian PKU.

Panduan penggunaan kiosk AI Medical Avatar di Pusat Kesihatan Universiti, UTM Johor Bahru
Paparan maklumat penggunaan AI Medical Avatar yang menyediakan pilihan interaksi melalui papan kekunci atau mikrofon

Pelaksanaan AI Medical Avatar turut memberikan nilai tambah kepada proses pemeriksaan kesihatan (medical check-up) pelajar baharu, khususnya ketika PKU menerima jumlah kehadiran pelajar yang tinggi. Melalui integrasi modul Medical Triage, pesakit dapat menjalani proses saringan awal (preliminary screening) secara interaktif sebelum diberikan giliran untuk berjumpa doktor. Pendekatan ini membantu memperkemas aliran pengurusan pesakit, mengoptimumkan proses pemeriksaan kesihatan dan meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan secara menyeluruh.

Dalam ucapannya, Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, menekankan bahawa penggunaan kecerdasan buatan perlu dimanfaatkan secara strategik untuk mengambil alih tugasan rutin, sekali gus membolehkan manusia memberikan tumpuan kepada tanggungjawab yang memerlukan pemikiran lebih mendalam dan keupayaan intelektual yang tinggi.

“AI harus terus mengambil alih tugas-tugas rutin dan berulang agar kita dapat memberikan tumpuan kepada pemikiran, penyelesaian masalah dan cabaran yang lebih kompleks, sejajar dengan keupayaan serta ketinggian intelektual yang dimiliki oleh manusia,” ujar beliau.

Pengguna berinteraksi dengan paparan digital AI Medical Avatar di Pusat Kesihatan Universiti, UTM Johor Bahru

Mesej ini memperlihatkan hala tuju kepimpinan universiti yang melihat AI bukan sekadar sebagai teknologi automasi, tetapi sebagai pemangkin kepada peningkatan produktiviti, kreativiti dan pemerkasaan potensi intelektual manusia.

Aplikasi inovatif ini dibangunkan sepenuhnya oleh kumpulan penyelidik dan kepakaran UTM, memperlihatkan keberkesanan kerjasama sinergi antara penyelidik Fakulti Komputeran, UTMDX dan Pusat Kesihatan Universiti.

Kejayaan ini membuktikan keupayaan penyelidik universiti dalam menterjemahkan kepakaran kecerdasan buatan, teknologi avatar interaktif dan pengkomputeran imersif kepada penyelesaian digital yang praktikal serta memberikan manfaat langsung kepada komuniti kampus.

Menggabungkan kepakaran teknologi, pengurusan infrastruktur digital serta keperluan operasi perkhidmatan kesihatan bagi menghasilkan inovasi yang dapat diaplikasikan dalam persekitaran sebenar.

Sejajar dengan aspirasi UTM ASCEND 2030 dan komitmen universiti untuk Menginovasi Penyelesaian Lestari, pembangunan AI Medical Avatar menjadi manifestasi pendekatan UTM dalam memperkasa penyelidikan berimpak melalui inovasi yang bukan sahaja berteraskan kemajuan teknologi, malah mampu menyelesaikan cabaran sebenar dalam penyampaian perkhidmatan.

Kejayaan ini juga membuka ruang kepada peluasan ekosistem kaunter perkhidmatan pintar ke pelbagai pusat tanggungjawab universiti, selain mewujudkan potensi pemindahan teknologi kepada sektor pendidikan tinggi, perkhidmatan awam dan penjagaan kesihatan.

Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, bersama barisan pengurusan dan warga Pusat Kesihatan Universiti PKU sempena pelancaran AI Medical Avatar

Sumber : UTM NewsHub

Total Views: 5