Berita dan gambar oleh: Muhammad Haiqal bin Rahman (Pelajar Bachelor of Finance with Honours, SEFB)
INDONESIA– Program mobiliti akademik antara Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universitas Indonesia (UI) telah berjaya dilaksanakan bagi memperkaya pengetahuan dan memperluas pengalaman antarabangsa mahasiswa serta mengeratkan hubungan akademik antara kedua-dua institusi pendidikan tinggi serantau.
Program yang berlangsung selama lima hari, dari 27 September hingga 1 Oktober 2026, melibatkan 18 orang pelajar dari Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB), UUM, yang menyertai pelbagai aktiviti akademik dan pertukaran budaya di Universitas Indonesia, Depok, Indonesia.
Program ini ditaja sepenuhnya oleh Bursa Malaysia. Menurut Pengerusi Kursi Bursa Malaysia, Prof. Madya Dr. Nur Hafizah Mohammad Ismail, program ini dirangka bagi memberikan pendedahan antarabangsa kepada mahasiswa melalui interaksi dengan pelajar luar negara dalam persekitaran pembelajaran yang merentas budaya.

Beliau berkata, pengalaman tersebut turut memberi peluang kepada mahasiswa untuk memperkukuh kemahiran insaniah, khususnya dalam aspek komunikasi, pemikiran kritis dan kerja berpasukan. Selain itu, program ini mencerminkan komitmen UUM dan Bursa Malaysia terhadap pembangunan generasi muda serta memperluas peluang pendidikan dan mobiliti sosial melalui kerjasama strategik antara industri dengan akademia.
Sepanjang program, pelajar UUM berpeluang mengikuti kuliah mengenai Sustainable Reporting yang disampaikan oleh Prof. Dr. Desi Adhariani dari Fakultas Ekonomi dan Bisnis, UI. Pelajar UUM dan UI turut menyertai Stock Trading Challenge secara berkumpulan, diikuti sesi perbincangan mengenai perkembangan pasaran saham di Malaysia dan Indonesia.
Selain aktiviti akademik, pasukan gabungan UUM–UI turut melaksanakan program khidmat masyarakat di Kafila Islamic International School. Dalam program tersebut, pelajar UI mengendalikan sesi literasi kewangan, manakala pelajar UUM berkongsi pengetahuan mengenai literasi pelaburan.

Para peserta juga menyertai Exploramoney Treasure Hunt, iaitu aktiviti berbentuk cabaran berkumpulan yang menguji pengetahuan mereka tentang pasaran modal Malaysia dan Indonesia.
Program ini turut merangkumi lawatan akademik ke Bursa Efek Indonesia (Indonesia Stock Exchange, IDX) bagi memberikan pendedahan kepada mahasiswa mengenai operasi dan ekosistem pasaran modal Indonesia. Program diakhiri dengan aktiviti pertukaran budaya antara pelajar UUM dan UI, yang membuka ruang kepada peserta untuk mengenali budaya masing-masing serta mengeratkan hubungan antara kedua-dua institusi.












