Oleh : Jamarosliza
JOHOR BAHRU, 16 Sept. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperkukuh amalan kelestarian dalam komuniti menerusi pelaksanaan Program Fasa 2: Kempen dan Pertandingan Kitar Semula di bawah Geran Iskandar Puteri Rendah Karbon (IPRK) 6.0 daripada Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) di Surau Al-Muhtadin, Taman Skudai Baru.
Program yang diketuai Prof. Madya Ir. Dr. Jamarosliza Jamaluddin bersama 15 ahli jawatankuasa daripada Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga (FKT), UTM itu dilaksanakan dengan kerjasama Yayasan Penyayang Iskandar Puteri, Tadika Qaseh Raihan, Ahli Jawatankuasa (AJK) Surau Al-Muhtadin dan Kumpulan Yassin Niswatul Mahabah.
Kira-kira 50 pengunjung daripada komuniti setempat turut mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti yang disediakan sepanjang program berkenaan.

Antara aktiviti utama ialah Pertandingan Penghantar Barangan Kitar Semula Terbanyak mengikut kategori logam, e-sisa, plastik, kaca dan kertas, selain pengumpulan minyak masak terpakai. Aktiviti tersebut memberi peluang kepada komuniti untuk terlibat secara langsung dalam pengasingan dan pengumpulan sisa, sekali gus meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan mengurangkan jumlah bahan buangan yang dihantar ke tapak pelupusan.
Selain itu, program turut menampilkan pameran dan demonstrasi berkaitan pemanfaatan semula bahan terpakai, termasuk penghasilan pencuci pinggan, lilin daripada minyak masak terpakai, kraf daripada fabrik plastik serta kertas daripada sisa pertanian.
Rakan kerjasama industri bagi projek tersebut, Precious Plastic Malaysia, turut mengadakan pameran dan demonstrasi penghasilan produk guna semula bernilai tambah (upcycled) daripada sisa plastik seperti penutup botol. Aktiviti itu memberi gambaran kepada komuniti tentang potensi bahan buangan untuk diolah menjadi produk baharu.


Bersempena sambutan Hari Malaysia, Pertandingan Mewarna turut diadakan dalam tiga kategori, iaitu Kategori A bagi kanak-kanak berumur empat hingga enam tahun, Kategori B bagi kanak-kanak berumur tujuh hingga sembilan tahun dan Kategori C bagi kanak-kanak berumur 10 hingga 12 tahun. Hadiah pertandingan tersebut ditaja oleh Yayasan Penyayang Iskandar Puteri.

Dari segi hasil pengumpulan, program tersebut berjaya mengumpulkan 526.35 kilogram (kg) bahan kitar semula yang dianggarkan menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon sebanyak 1,505.36 kg CO₂. Sebanyak 245 kg minyak masak terpakai turut dikumpulkan dengan anggaran pengurangan pelepasan karbon sebanyak 784 kg CO₂.
Sementara itu, plastik gelembung (bubble wrap) yang dikumpulkan akan digunakan sebagai bahan bagi Fasa 3 projek, iaitu Bengkel Penghasilan Kraf daripada Sisa Plastik. Perkembangan tersebut turut menyokong aspirasi UTM ASCEND 2030 melalui amalan pengurusan sisa secara lestari dan usaha mengurangkan pelepasan karbon dalam komuniti.
Menurut salah seorang pengunjung, Fuziah Sulaiman, program berkenaan memberi manfaat kepada masyarakat dengan meningkatkan kesedaran mengenai potensi barangan terpakai untuk dikitar semula dan diolah menjadi produk bernilai tambah.
Beliau turut berpandangan bahawa inisiatif seumpama itu dapat menyokong usaha pemeliharaan alam sekitar serta menggalakkan amalan kitar semula dalam kalangan komuniti.
Secara keseluruhannya, pelaksanaan Program Fasa 2 tersebut memperlihatkan pendekatan UTM dalam memindahkan ilmu dan amalan kelestarian kepada masyarakat melalui penglibatan secara langsung bersama komuniti. Usaha itu turut menyokong agenda bandar rendah karbon serta penggunaan sumber secara lebih bertanggungjawab, di samping menyediakan asas kepada pelaksanaan aktiviti kelestarian pada fasa seterusnya.
Sumber: UTM NewsHub












