SINTOK, 30 September 2026 – Pertandingan Inovasi Pendidikan (PIP) Ke-8 2026 Peringkat Kebangsaan menjadi platform penting dalam menghimpunkan warga pendidik, pelajar dan institusi pendidikan dari seluruh negara bagi mengetengahkan idea serta inovasi yang berpotensi memperkasa kualiti pengajaran dan pembelajaran.
Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed, berkata pertandingan berkenaan membuktikan bahawa inovasi mempunyai ruang yang luas untuk diketengahkan dalam pelbagai bidang, bukan sahaja sains dan teknologi, malah turut merangkumi bidang sains sosial.

Menurut beliau, pelbagai inovasi yang dipamerkan sepanjang pertandingan menunjukkan kesungguhan peserta dalam menghasilkan idea kreatif yang berpotensi untuk dikembangkan, dikomersialkan dan dimanfaatkan dalam konteks yang lebih luas.
“Saya berkesempatan untuk melawat banyak reruai yang ada dan saya melihat nilai kesungguhan inovasi itu amat tinggi. Insya-Allah, dengan peluang yang betul, inovasi-inovasi ini boleh diketengahkan dan dikomersialkan serta digunakan dalam konteks yang lebih luas untuk mendapat manfaat bagi semua pihak yang terlibat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Pertandingan Inovasi Pendidikan (PIP) Ke-8 2026 Peringkat Kebangsaan anjuran Pusat Pengajaran dan Pembelajaran Universiti (UTLC), UUM, di Dewan Mu’adzam Shah, UUM, di sini, semalam.
Beliau berkata penyertaan dalam pertandingan inovasi tidak seharusnya diukur berdasarkan kemenangan semata-mata kerana pengalaman menghasilkan, membentangkan dan menerima penilaian terhadap sesuatu inovasi turut memberikan nilai yang besar kepada peserta.


Katanya, inovasi yang dihasilkan juga berpotensi menjadi sumber inspirasi kepada pengunjung serta boleh dimanfaatkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran di institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta sekolah.
Menurut beliau, penganjuran pertandingan berskala kebangsaan dengan penyertaan yang ramai bukanlah sesuatu yang mudah kerana memerlukan komitmen, dedikasi dan kerjasama yang tinggi daripada semua pihak.
“Saya ucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Profesor Dr. Siti dan juga rakan-rakan beliau di UTLC yang telah bertungkus-lumus untuk menjayakan pertandingan kali ke-8 ini.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada peserta yang hadir dari pelbagai negeri, termasuk dari Sarawak yang sanggup datang ke UUM bagi menyertai pertandingan tersebut.
Menurut beliau, penyertaan daripada pelbagai negeri menunjukkan komitmen warga pendidikan untuk berkongsi idea, kepakaran dan inovasi dalam usaha memperkukuh ekosistem pendidikan negara.
“Pertandingan ini menunjukkan kepada kita bahawa inovasi dalam teknologi itu sangat penting. Macam-macam aspek ditonjolkan, bukan sahaja yang berkaitan dengan sains, bahkan sains sosial juga berjaya diinovasikan,” katanya.
“Saya harap dengan adanya komitmen sebegini, kita boleh sama-sama berusaha untuk memastikan kualiti pendidikan dalam negara kita terus diangkat, terutama menggunakan teknologi sebagai suatu alat untuk memudahkan pengajaran dan pembelajaran,” katanya.


PIP Ke-8 2026 dianjurkan oleh UTLC, UUM dengan sokongan rakan penaja Skolar Malaysia, Shahidan Event Management Sdn. Bhd. dan KDEB Waste Management Sdn. Bhd.
Majlis berkenaan turut dihadiri Pengarah UTLC, Profesor Dr. Siti Noor Ismail; Pengarah Projek PIP Ke-8 2026, Dr. Idyawati Hussein; Ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti; ketua pusat tanggungjawab; pegawai kanan universiti; barisan juri serta peserta PIP Ke-8 2026.












