Oleh: Mohd Azfar Syukri Yusien
DUNGUN, 29 September 2026 – Menjelang langkah pertama bergelar mahasiswa, dua pelajar baharu UiTM Cawangan Terengganu menerima suntikan semangat menerusi Program Ziarah Kasih 2026 yang membawa wakil universiti terus ke kediaman keluarga mereka.
Program anjuran Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) itu dilaksanakan menjelang pendaftaran kolej bagi Sesi Kemasukan September 2026–Februari 2027 sebagai usaha memberikan sokongan awal dari aspek kebajikan, keperluan asas dan kesejahteraan mahasiswa.
Kunjungan pertama menyantuni Fify Fazlin Saidi, pelajar baharu Diploma Perakaunan Kampus Dungun yang merupakan anak keempat daripada lima beradik.

Keluarganya kini berdepan cabaran apabila bapanya diserang angin ahmar dan menerima rawatan di Hospital Dungun, manakala ibunya bekerja bagi membantu menampung kos sara hidup keluarga.
Bagi meringankan beban keluarga, Fify Fazlin menerima sumbangan yang disampaikan Timbalan Rektor (Hal Ehwal Pelajar), Dr. Baktiar Musa, bersama Timbalan Pendaftar, Puan Noor Sharulniza Sau Hamid dan Pegawai Eksekutif Kanan HEP, Encik Azrin Ariffin.

Program sama turut menyantuni Putri Nur Anis Ameera Azli, pelajar baharu Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian) Kewangan Kampus Dungun yang menetap bersama keluarganya di Felda Tersat, Ajil, Hulu Terengganu.

Putri Nur Anis merupakan anak sulung daripada lima beradik, dengan bapanya bekerja sebagai buruh ladang manakala ibunya tidak mempunyai pendapatan tetap.
Kunjungan ke kediamannya dilaksanakan oleh Pegawai Psikologi Kanan, Puan Norhamizah Abd Jalil bersama Puan Rafidah Wahab bagi melihat sendiri keadaan serta keperluan pelajar dan keluarganya.
Selain menyampaikan sumbangan, wakil universiti turut memberikan penerangan mengenai pelbagai saluran bantuan dan kemudahan kebajikan yang boleh dimanfaatkan mahasiswa sepanjang tempoh pengajian.
Antara sokongan yang tersedia termasuk bantuan keperluan asas, kebajikan serta perkhidmatan sokongan psikologi bagi membantu mahasiswa menghadapi cabaran sepanjang berada di universiti.

Pendekatan turun padang menerusi Ziarah Kasih membolehkan pihak universiti memahami situasi sebenar pelajar dan keluarga sebelum mereka memulakan kehidupan baharu di kampus.
Inisiatif itu juga mencerminkan pendekatan HEP yang tidak hanya menunggu mahasiswa mendapatkan bantuan, sebaliknya mendekati mereka lebih awal agar sokongan bersesuaian dapat dikenal pasti dan disalurkan.
Program Ziarah Kasih sekali gus memperlihatkan komitmen UiTM Cawangan Terengganu dalam memastikan aspek kebajikan dan kesejahteraan mahasiswa terus diberikan keutamaan sepanjang perjalanan mereka sebagai warga universiti.












