Advertisement

GO-THAI’26 PERKASA LITERASI DIGITAL, SANTUNI KOMUNITI ISLAM DI THAILAND

Suphan Buri, 29 September 2026 – Pelajar Program Komunikasi, Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC), Universiti Utara Malaysia (UUM) memperluas pengalaman kesukarelawanan di peringkat antarabangsa menerusi pelaksanaan aktiviti tanggungjawab sosial sempena Global Academic and Volunteer Trips: Thailand 2026 (GO-THAI’26).

Antara aktiviti yang dilaksanakan ialah program bersama pelajar Sekolah Sahavith di daerah Suphan Buri yang memfokuskan kepada promosi UUM dan literasi media komunikasi digital dalam kalangan remaja bagi meningkatkan pengetahuan serta kesedaran mereka terhadap penggunaan media secara berkesan.

Pengarah Aktiviti Sekolah, Muhammad Danish Mustapa berkata, program itu memberi peluang kepada peserta GO-THAI’26 berkongsi pengetahuan dan kemahiran komunikasi yang dipelajari di universiti dengan pelajar sekolah melalui pendekatan interaktif dan aktiviti bersama.

“Program ini bukan sahaja memberi pengalaman kepada kami untuk berinteraksi dengan pelajar Thailand, malah membuka ruang untuk berkongsi pengetahuan berkaitan komunikasi dan media digital dalam suasana pembelajaran yang berbeza,” katanya.

Selain aktiviti di sekolah, peserta GO-THAI’26 turut berjaya mengumpulkan sumbangan buku dan al-quran bernilai RM5,000 untuk disalurkan kepada sekolah rendah Islam, di samping melaksanakan pengagihan naskhah al-Quran kepada komuniti Islam termasuk di masjid dan sekolah agama sekitar Suphan Buri, Kanchanaburi, Bangkok dan Phatthalung.

Pengarah Agihan Buku dan al-Quran, Muhammad Kamal Fandi berkata, inisiatif berkenaan dilaksanakan bagi membantu menyediakan bahan bacaan dan pembelajaran kepada komuniti minoriti setempat, selain mendekatkan mahasiswa UUM dengan masyarakat Islam di Thailand.

Menurutnya, penglibatan secara langsung dalam aktiviti tersebut memberi pengalaman bermakna kepada peserta untuk memahami keperluan masyarakat setempat serta menyemai nilai keprihatinan dan kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa.

Pensyarah pengiring, Dr. Mohd Zuwairi Mat Saad berkata, elemen tanggungjawab sosial menjadi antara komponen penting GO-THAI’26 kerana program mobiliti antarabangsa tidak seharusnya tertumpu kepada lawatan akademik dan industri semata-mata.

“Mahasiswa perlu memahami bahawa ilmu yang diperoleh di universiti boleh dikongsi dan dimanfaatkan oleh masyarakat. Dalam konteks pelajar Komunikasi, mereka mempunyai kemahiran yang boleh digunakan untuk mendidik masyarakat, khususnya berkaitan komunikasi dan literasi media digital.

“Pada masa sama, aktiviti bersama komuniti memberi peluang kepada mahasiswa membina kemahiran komunikasi silang budaya, kepimpinan, kerja berpasukan dan kepekaan sosial yang sukar diperoleh melalui pembelajaran di dalam kelas sahaja,” katanya.

Pelaksanaan aktiviti tanggungjawab sosial itu melengkapkan pengisian GO-THAI’26 yang menggabungkan elemen akademik, pendedahan industri, kesukarelawanan dan silang budaya dalam usaha melahirkan mahasiswa UUM yang berpengetahuan, berkemahiran serta mempunyai kesedaran terhadap tanggungjawab kepada masyarakat.

Berita dan gambar oleh: Muhammad Danish Mustapa

Total Views: 36