Advertisement

Pelajar UUM COB Terpilih ke Separuh Akhir National Bijak Wang Challenge 2026

SINTOK- Pelajar Tahun 3 Sarjana Muda Kewangan dan Perbankan Islam, Rizarina Karman antara tiga wakil pelajar IPT Zon Utara yang terpilih ke peringkat separuh akhir National Bijak Wang Challenge 2026.

Pertandingan yang dianjurkan oleh MySalam dengan sokongan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) itu merupakan yang pertama seumpamanya yang menghimpunkan pelajar IPT seluruh Malaysia untuk bersaing, menguji ilmu kewangan dan membawa nama universiti ke peringkat nasional.

Pertandingan ini menawarkan hadiah keseluruhan sebanyak RM30,000 termasuk hadiah istimewa RM5,000 bagi universiti dengan penyertaan tertinggi dan RM5,000 kepada universiti yang mempunyai pelajar memenangi pertandingan.

Ia melibatkan lima zon pertandingan dan UUM terpilih menjadi tuan rumah bagi Bijak Wang Challenge bagi Zon Utara yang berlangsung pada 27 September 2026.

Tiga peserta terbaik dari setiap zon akan berentap di peringkat separuh akhir sebelum 10 wakil terbaik mara ke pentas Grand Finale yang dijadualkan berlangsung pada 24 Oktober di Central i-City Mall Shah Alam bersempena Karnival Celik Kewangan.

Sasaran utama Bijak Wang Challenge 2026 adalah memastikan lebih ramai mahasiswa mempunyai ilmu kewangan yang mampu membantu mereka membuat perancangan serta keputusan kewangan yang lebih bijak.

Penolong Naib Canselor UUM COB, Prof. Dr. Selamah Maamor berkata, UUM amat bertuah kerana telah dipilih menjadi destinasi pertama program National Bijak Wang Challenge 2026.

Menurutnya, kejayaan berganda diperolehi apabila pelajar UUM antara yang berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir menewaskan hampir 400 peserta dalam kuiz yang dijalankan secara atas talian ini.

“Ini membuktikan kualiti graduan yang dihasilkan oleh UUM dalam bersaing dengan puluhan IPT yang lain diseluruh negara dalam bidang kewangan,” katanya.

Berita oleh: Dr. Mohamad Yazid Isa
Gambar oleh: Wan Muhammad Akid Wan Ali, Anis Sofea Azman, Haifa Harnani Hashim

Total Views: 28