PULAU PINANG – Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI), UUM dengan kerjasama Bank Simpanan Nasional (BSN) terus memperkukuhkan agenda pembangunan keusahawanan melalui penganjuran Program BSN iTEKAD Mulaniaga, Bootcamp 1: Bengkel Latihan Modul Business Model Canvas (BMC), Pemasaran Digital dan Pembungkusan Produk.
Program yang berlangsung pada 23 hingga 25 September 2026 ini telah menghimpunkan seramai 39 peserta yang terdiri daripada 22 orang pelajar UUM dan 17 orang komuniti di sekitar Kubang Pasu.

Pengarah CEDI, Dr. Juhaida Abu Bakar berkata, penganjuran program ini bertujuan memberikan pendedahan dan kemahiran praktikal kepada peserta dalam aspek penting pembangunan perniagaan, khususnya melalui pemahaman terhadap konsep dan model perniagaan, strategi pemasaran digital serta penghasilan pembungkusan produk yang mampu meningkatkan daya tarikan dan nilai komersial sesuatu produk yang dihasilkan.
Menurutnya, pendekatan pembelajaran secara teori dan praktikal yang diterapkan sepanjang bengkel latihan ini turut memberi peluang kepada peserta untuk mengembangkan idea perniagaan, mengenal pasti keperluan pasaran serta mengaplikasikan pengetahuan yang diperoleh dalam konteks perniagaan sebenar.
Kerjasama antara CEDI UUM dan BSN melalui pelaksanaan program ini turut mencerminkan komitmen kedua-dua pihak dalam menyediakan platform pembangunan kapasiti perniagaan yang dapat memperkukuhkan kemahiran keusahawanan dalam kalangan pelajar dan komuniti setempat.

Melalui Program BSN iTEKAD Mulaniaga ini, diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada peserta untuk mengembangkan potensi perniagaan secara lebih terancang, kreatif dan berdaya saing, di samping menyokong usaha CEDI UUM-BSN untuk melahirkan lebih ramai usahawan yang mampu memanfaatkan peluang ekonomi melalui pendekatan perniagaan yang lebih inovatif dan berdaya saing.
Berita oleh: Nurul Nadia Syafika Othman
Gambar oleh : Muhammad Khairul Amri Ahmad












