oleh : Muhammad Dzul Ehsan Sahriff
TANJONG MALIM, 28 September 2026 — Hari pertama sesi orientasi Fakulti Teknikal dan Vokasional (FTV), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bukan sekadar menjadi ruang untuk mahasiswa baharu mengenali fakulti, malah membuka lembaran baharu dalam kehidupan mereka sebagai mahasiswa universiti.
Perubahan daripada rutin persekolahan atau kehidupan di Kolej Vokasional/Matrikulasi/STPM kepada kehidupan kampus menjadi antara cabaran awal yang perlu dihadapi mahasiswa baharu, khususnya dalam menyesuaikan diri dengan jadual yang lebih padat, persekitaran baharu serta tuntutan untuk berdikari.

Seawal 8.30 pagi, mahasiswa baharu FTV mengikuti Slot MPP: Manifestasi Kepimpinan sebelum diteruskan dengan Amanat Dekan FTV yang memberi pendedahan mengenai sejarah SITC UPSI, Budaya Jiwa UPSI dan Anak Kandung Suluh Budiman serta sejarah dan budaya FTV.
Bagi Shamsul Ikhmal Bin Abdullah, mahasiswa baharu daripada ISMP Sains Pertanian, pengalaman hari pertama di universiti memberinya gambaran bahawa kehidupan sebagai mahasiswa memerlukan pengurusan masa dan disiplin yang lebih baik berbanding ketika berada di bangku sekolah.
“Pada awalnya memang rasa sedikit kekok sebab rutin di universiti berbeza dengan sekolah. Kita perlu tahu sendiri jadual, lokasi dan aktiviti yang perlu dihadiri. Tetapi selepas mengikuti orientasi, saya mula faham bagaimana kehidupan di universiti,” katanya.
Menurutnya, sesi pengenalan bersama pihak fakulti dan jabatan turut membantu mahasiswa baharu mengenali pensyarah, senior serta rakan-rakan yang bakal menjadi sebahagian daripada perjalanan mereka sepanjang pengajian.

Perkara sama turut dikongsi Firdaus Aiman Akmal Bin Mohd Azhari, yang menyifatkan perubahan daripada kehidupan Kolej Vokasional kepada universiti sebagai satu pengalaman yang memerlukan penyesuaian dari segi rutin harian dan cara berinteraksi.
“Di universiti, kita perlu lebih berdikari. Kalau di sekolah atau matrikulasi banyak perkara yang sudah tersusun, tetapi di universiti kita perlu lebih proaktif mencari maklumat dan mengurus masa sendiri,” ujarnya.
Selain pengenalan akademik, mahasiswa baharu turut didedahkan kepada aspek kehidupan, kemahiran dan sumbangan kepada UPSI melalui slot TDHEPA serta penerangan berkaitan kebajikan, perumahan dan perkhidmatan pelajar.
Pendedahan berkenaan dilihat penting bagi membantu mahasiswa memahami sistem sokongan yang tersedia sepanjang berada di kampus, sekali gus memberi keyakinan kepada mereka untuk menghadapi kehidupan universiti.
Sesi orientasi turut memperkenalkan mahasiswa kepada tiga jabatan di FTV, iaitu Jabatan Sains Pertanian (DKP 6), Jabatan Teknologi Kejuruteraan (DKP 7) serta Jabatan Hospitaliti dan Sains Konsumer (DKP 8) melalui slot Menjiwai FTV, Pensyarah, Senior dan Rakan.

Pada sebelah petang pula, mahasiswa berpeluang mengenali persatuan yang berkaitan dengan bidang pengajian masing-masing sebelum menyertai Kampus Tour UPSI: Sayang UPSI.
Bagi mahasiswa baharu, aktiviti tersebut bukan sahaja membantu mereka mengenali lokasi penting di kampus, malah menjadi peluang untuk membina hubungan baharu selepas meninggalkan persekitaran persekolahan atau matrikulasi.
Peralihan kepada kehidupan universiti sememangnya memerlukan masa untuk disesuaikan. Namun, dengan sokongan pihak fakulti, pensyarah, senior dan rakan-rakan, mahasiswa baharu dilihat mempunyai ruang untuk membina keyakinan serta membentuk rutin kehidupan yang lebih teratur.
Sesi orientasi FTV bukan sekadar memperkenalkan mahasiswa kepada struktur fakulti dan kehidupan kampus, tetapi menjadi langkah pertama dalam membentuk identiti mereka sebagai mahasiswa UPSI yang mampu berdikari, mengurus masa dan menyesuaikan diri dengan cabaran baharu sepanjang tempoh pengajian.












