Advertisement

Antara Rindu dan Cita-Cita: Pelajar Senior Ijazah A261 Kembali ke KAHS

Oleh: Sharine Jaqalinna Anak Ikok


TANJONG MALIM, 27 September 2026— Ada langkah yang terasa berat bukan kerana jauhnya perjalanan, tetapi kerana hati masih tertinggal di rumah bersama insan tersayang. Pada 26 hingga 27 September 2026, pelajar senior A261 kembali menjejakkan kaki ke Kolej Awang Had Salleh (KAHS), Kampus Sultan Azlan Shah bagi memulakan kembali semester akademik yang baharu.

Majlis Mahasiswa Kolej Awang Had Salleh dan sukarelawan membantu para pelajar mengangkat barangan dari kenderaan ke foyer blok


Kepulangan ini membawa lebih daripada sekadar beg dan barangan keperluan. Bersama mereka hadir rasa rindu kepada keluarga, doa insan tersayang serta semangat untuk kembali meneruskan perjuangan dalam menuntut ilmu. Walaupun terpaksa berjauhan dengan keluarga, setiap langkah yang diambil adalah demi mengejar cita-cita dan membina masa depan yang lebih baik.

Bagi memastikan proses kemasukan berjalan lancar, barisan pentadbiran KAHS dan MMKAHS turut membantu menguruskan pendaftaran pelajar di kabin KAHS dan di hadapan pejabat KAHS. Kehadiran mereka bukan sahaja memudahkan urusan pendaftaran, malah memberikan sambutan mesra kepada para pelajar yang kembali ke kolej selepas menghabiskan cuti bersama keluarga.

Barisan Majlis Mahasiswa Kolej Awang Had Salleh dan sukarelawan yang bertugas semasa hari pendaftaran

MMKAHS dan Sukarelawan: Tenaga di Sebalik Kelancaran Drop-Off

Dalam masa yang sama, Majlis Mahasiswa Kolej Awang Had Salleh (MMKAHS) bersama para sukarelawan turut berganding bahu membantu mengangkat barangan pelajar dari kenderaan ke foyer blok. Kerjasama ini melancarkan proses drop-off serta meringankan beban pelajar dan keluarga yang hadir.

KAHS Usahawan Spot menyediakan juadah untuk dijual kepada para penghuni dan pelajar

‘KAHS Usahawan Spot’ Menyeri Kepulangan Pelajar Senior

Tidak dilupakan KAHS Usahawan Spot turut memeriahkan suasana dengan menyediakan pelbagai pilihan makanan dan minuman di sekitar kawasan pendaftaran. Kehadiran mereka memberikan kemudahan kepada pelajar dan keluarga untuk mendapatkan makanan serta minuman sepanjang urusan kemasukan berlangsung.

Kepulangan pelajar senior A261 bukan sekadar menghidupkan kembali suasana kolej, tetapi turut menyemarakkan semangat kebersamaan dalam komuniti KAHS. Setiap bantuan, senyuman dan sapaan menjadi tanda bahawa walaupun jauh daripada keluarga, para pelajar tetap mempunyai sebuah tempat yang menyambut kepulangan mereka.

Seorang ibu memeluk anaknya sebelum berangkat pulang, meninggalkan anaknya untuk memulakan semester baharu


Selamat kembali, pelajar senior A261. Teruskan melangkah dengan semangat dan kekuatan, kerana di sebalik setiap anak yang berjauhan daripada keluarga, ada insan tersayang yang sentiasa menanti dan mendoakan kejayaan mereka. KAHS mungkin bukan rumah pertama kalian, tetapi semoga sentiasa menjadi rumah kedua yang menyambut kepulangan kalian dengan tangan terbuka.

Total Views: 67