Advertisement

UTM perkukuh jalinan komuniti menerusi UTM Community Outreach 2026 di Dungun

Oleh : Noor Hadayah Ahmad

DUNGUN, 9 Ogos – Dewan Al-Hikmah, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerangau menjadi lokasi penganjuran Program UTM Community Outreach 2026 @ Dungun, sebuah inisiatif yang membawa misi kepedulian, perkongsian ilmu dan jalinan komuniti antara Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bersama masyarakat setempat.

Berbekalkan semangat “Menyantuni, Membina Jalinan dan Memberi Makna”, program ini mencerminkan usaha UTM mendekati masyarakat, menyantuni generasi muda serta menterjemahkan ilmu dan kepakaran kepada manfaat yang dapat dirasai bersama.

Program Ziarah Kasih dijalankan di rumah penerima sumbangan terpilih

Majlis ini diserikan dengan kehadiran Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim yang menyampaikan ucapan perasmian sekali gus menzahirkan aspirasi UTM dalam memperkukuh hubungan universiti dengan komuniti serta memperkasa potensi generasi muda melalui pendidikan dan pembinaan sahsiah.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dato’ Dr. Hj. Din Adam, dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Mohd Syahrizal Sunar, selain barisan pemimpin dan pegawai pendidikan daerah Dungun yang turut menyerlahkan komitmen bersama dalam memperkukuh jaringan strategik antara UTM dan institusi pendidikan di daerah berkenaan.

Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim beramah mesra bersama sukarelawan PERMATA UTM

Majlis dimulakan dengan penyampaian sumbangan kepada pelajar terpilih, sebagai sokongan agar mereka dapat terus melangkah, membina keyakinan dan mengejar impian masing-masing.

Menerusi inisiatif Jejak Kasih Alumni UTM, majlis turut menyaksikan penyampaian cenderahati kepada empat alumni UTM yang kini menyumbang khidmat bakti kepada masyarakat di daerah Dungun. Inisiatif ini memperlihatkan hubungan antara alumni dengan universiti yang tidak terhenti selepas tamat pengajian, dengan alumni terus menjadi sebahagian daripada keluarga besar UTM yang turut berperanan menghubungkan universiti dengan komuniti.

Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim bersama empat alumni UTM

Penganjuran program di negeri tuan rumah Terengganu ini turut melibatkan Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (PERMATA) UTM secara strategik, yang berperanan sebagai pemudah cara komunikasi antara universiti dan komuniti setempat bagi memastikan setiap inisiatif dapat disampaikan dengan lebih dekat, mesra dan berimpak.

Program ini turut memperkukuh jalinan kerjasama UTM bersama SMK Jerangau, SMK Durian Mas, SMK Bukit Besi, SMK Sura dan SMK Kuala Jengal, dengan sokongan Pejabat Pendidikan Daerah Dungun serta pelbagai pihak yang sama-sama menjayakan program ini.

Naib Canselor UTM bersama tetamu kehormat melawat pameran STEM

Program seumpama ini mencerminkan bahawa pendidikan bukan sekadar berlaku di dalam bilik kuliah, sebaliknya turut merangkumi bagaimana ilmu, kepakaran, nilai dan kepedulian diterjemahkan menjadi manfaat kepada kehidupan masyarakat. UTM turut menyatakan harapan agar Program UTM Community Outreach dapat terus menjadi wadah utama universiti untuk turun padang mendekati, mendengar, menyantuni dan menyumbang khidmat kepada komuniti.

Sukarelawan Program UTM Community Outreach 2026 merakamkan kenangan bersama PERMATA UTM
Total Views: 10