Advertisement

Dari Kelantan Ke UPSI: Bantuan Prihatin Buka Jalan Ally Iskandar Mengejar Cita-Cita

oleh Mohd Raizol Ramli dan Anizan Md Noor

KOTA BHARU, 11 September 2026 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus menzahirkan keprihatinan yang mendalam terhadap kebajikan mahasiswa apabila tampil menghulurkan tangan membantu Ally Iskandar bin Abdo Mohammed, bakal pelajar Ijazah Sarjana Muda Kimia, Fakulti Sains dan Matematik (FSM).

Ally Iskandar yang menggalas status anak yatim selepas kehilangan ibu tercinta, kini tinggal bersama bapanya yang tidak bekerja dan hanya bergantung kepada sumbangan zakat untuk menyara kehidupan.

Menyedari kepayahan tersebut, UPSI melalui Pusat Wakaf, Endowmen dan Zakat (WEZAS) mengambil langkah pantas memberikan pengecualian penuh yuran pendaftaran. Selain itu, sumbangan tunai daripada Tabung UPSI Prihatin turut disampaikan terus kepada keluarga beliau di Kota Bharu.

Cikgu Shukri mewakili UPSI menyampaikan sumbangan kepada Ally Iskandar

Penyerahan bantuan tersebut diwakili oleh alumni Anak Kandung Suluh Budiman, Cikgu Shukri, yang turun padang bagi menyempurnakan amanah universiti.

“Sebagai alumni Anak Kandung Suluh Budiman, ini bukan sekadar tugas, tetapi satu amanah dan ikatan kasih yang tidak akan putus. Saya bangga dapat menjadi wakil UPSI untuk memastikan bakal pelajar seperti Ally Iskandar tidak merasa berseorangan melangkah ke menara gading demi merubah nasib keluarga,” ujar Cikgu Shukri sewaktu sesi penyerahan bantuan.

Inisiatif prihatin ini diharapkan dapat meringankan beban kewangan keluarga serta menyuntik semangat baharu buat Ally Iskandar untuk memulakan pengajian di UPSI dengan penuh keyakinan.