Advertisement

Atlet UPSI bantu pasukan Universiti Malaysia Raih Pingat Perak di The 9th Shenyang Open Regatta

oleh Ihsan Noorzali

TANJUNG MALIM – Atlet Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Amin Syahmi Azahar dan Nur Insyirah Ishak, mencipta kejayaan membanggakan negara apabila berjaya meraih pingat perak dalam acara Mixed 8+ 1000m pada The 9th Shenyang Open Regatta di China.

Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata kedua-dua atlet daripada Fakulti Bahasa dan Komunikasi yang mewakili pasukan Malaysia bersama pelajar Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) , Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) serta Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu berjaya membawa nama universiti ke pentas antarabangsa menerusi pertandingan sukan rowing yang berlangsung di Shenyang Hun River City Center, China.

Amin Syahmi ( belakang dua dari kanan) dan Nur Insyirah ( dua dari kanan) bersama-rakan sepasukan yang meraih pingat perak sempena The 9th Shenyang Open Regatta di China.

Katanya, kejayaan tersebut menyaksikan Amin Syahmi dan Nur Insyirah membuktikan kemampuan atlet mahasiswa UPSI untuk bersaing dalam pertandingan bertaraf antarabangsa.

Beliau berkata pencapaian pingat perak dalam kategori tersebut turut menjadi kebanggaan buat seluruh warga UPSI sekali gus mengharumkan nama Malaysia.

Selain itu pasukan mereka juga meraih pingat perak bagi kategori M4X 1000 m dan Mixed 8+ 4500 m.

“Penyertaan dalam kejohanan yang berlangsung dari 10 hingga 14 September 2026 itu bukan sahaja mencerminkan kecemerlangan dalam bidang sukan, malah memperlihatkan nilai disiplin, ketahanan fizikal dan mental, semangat juang serta kerjasama berpasukan yang menjadi asas kejayaan seorang atlet.

Menurut Prof Md Amin lebih membanggakan, kejayaan Amin Syahmi dan Nur Insyirah membuktikan bahawa mahasiswa UPSI mampu menyerlah dalam pelbagai bidang, selaras dengan aspirasi universiti dalam melahirkan graduan yang holistik, berdaya saing dan berprestasi tinggi.

Katanya, pencapaian ini diharapkan menjadi inspirasi kepada warga UPSI, khususnya mahasiswa yang bergiat aktif dalam bidang sukan, untuk terus berusaha mengembangkan potensi dan mengharumkan nama universiti di peringkat kebangsaan serta antarabangsa.

Kategori Mixed 8+

Sementara itu, Amin Syahmin menganggap peluang menyertai pertandingan itu amat bermakna sekali buat mereka sepasukan kerana ini pertama kali ke luar negara mewakili Malaysia di persada antarabangsa dalam bidang sukan Rowing.

“Perasaan kami sepanjang dalam kejohanan ini sangat gemuruh kerana kebanyakan pasukan dari negara lain antaranya University of Otago, New Zealand, University of Beijing dan universiti wilayah-wilayah China yang lain kelihatan sungguh hebat. Namun, perkara tersebut hanya perasaan semata-mata dan kami percaya pada keupayaan kami, ” katanya.

” Setelah kami berjaya merangkul Pingat Perak dalam kategori M4x 1000m, Mixed 8+ 1000m dan Mixed 8+ 4500m kami amat bersyukur kerana penat lelah kami berbaloi dan kami amat berbangga untuk pencapaian ini untuk kejohanan antarabangsa buat kali pertama.

Amin Syahmi berterima kasih kepada semua pihak yang membantu dan menyokong, malah berharap semoga sukan mendayung ini terus mendapat sambutan oleh pelajar- pelajar UPSI untuk mengharumkan nama UPSI dan nama negara.