Oleh : Masnawi Miskam
YAN, 11 Sep – Pengalaman melalui pelbagai cabaran bersama keluarga sejak usia muda membentuk Muhammad Afiefullah Zainol Abidin, atau lebih mesra dipanggil Afif, menjadi seorang anak yang berdikari, matang dan tabah dalam menghadapi kehidupan.
Bagi bakal mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu, pengalaman tersebut turut mendorongnya untuk berusaha membina masa depan sendiri, termasuk mengembangkan minat dalam bidang keusahawanan yang mula diceburinya sejak di matrikulasi.
Kunjungan Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, ke kediaman keluarga Afif di Kota Sarang Semut pada 11 September 2026 turut membawa makna tersendiri buat Afif dan keluarganya, khususnya apabila kunjungan berkenaan disertai penyampaian sumbangan berjumlah RM1,500 daripada Yayasan Perkasa Siswa (YPS) dan UTM.

Bakal mengikuti pengajian Sarjana Muda Perakaunan dengan Kepujian di UTM bagi sesi akademik 2026/2027, Afif melihat peluang melanjutkan pengajian bukan sekadar untuk mencapai kecemerlangan akademik, malah sebagai ruang mengembangkan potensi diri, khususnya dalam bidang keusahawanan.
Menurut ibunya, Nazrah Suffian, 66, Afif merupakan seorang anak yang berdikari dan tidak terlalu bergantung kepada keluarga. Sikap tersebut semakin terserlah ketika keluarga mereka melalui tempoh sukar selepas kedua-dua ibu bapanya diuji dengan penyakit kanser.
“Afif memang seorang anak yang berdikari. Dia menjadi lebih matang apabila kami sekeluarga melalui pelbagai cabaran. Dia juga sentiasa cuba mencari jalan untuk membantu dan tidak mahu terlalu membebankan ibu,” katanya.
Minat Afif terhadap bidang perniagaan pula bukan perkara baharu. Ketika menuntut di matrikulasi, beliau mula menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan dengan menjual nasi berlauk, selain menawarkan perkhidmatan gunting rambut secara tempahan.
Pengalaman itu mendorong Afif untuk terus mengembangkan minatnya dalam bidang keusahawanan apabila melangkah ke UTM. Beliau berhasrat memanfaatkan platform dan peluang yang disediakan universiti, termasuk menerusi Pusat Inovasi Mahasiswa dan Keusahawanan Teknologi (UTMXCITE), untuk mengembangkan idea serta aktiviti perniagaan yang diceburinya.
“Saya berharap dapat mengembangkan lagi minat dalam bidang keusahawanan apabila berada di UTM. Pengalaman berniaga secara kecil-kecilan sebelum ini membuatkan saya lebih yakin untuk mencuba sesuatu yang baharu dan belajar bagaimana untuk menguruskan perniagaan dengan lebih baik,” katanya.
Selain bidang keusahawanan, Afif turut aktif dalam sukan, khususnya ping pong. Beliau pernah mewakili Matrikulasi Arau dalam kejohanan sukan antara matrikulasi.
Di sebalik semangatnya untuk melangkah ke universiti, Afif turut berdepan cabaran dari segi kewangan keluarga. Ibunya kini bergantung kepada pencen arwah suami bagi menampung keperluan keluarga, termasuk kos pengajian dan keperluan akademiknya.

Nazrah, yang pernah menjalani rawatan bagi penyakit kanser limfoma pada 2015, kembali diuji dengan penyakit berkenaan pada 2019 dan masih menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala. Beliau turut berdepan beberapa masalah kesihatan lain. Sementara itu, arwah ayah Afif, Zainol Abidin, meninggal dunia pada 15 Julai 2021 akibat kanser otak. Justeru, bantuan yang diterima menerusi kunjungan Ziarah Kasih UTM itu amat bermakna bagi Afif dalam membuat persiapan sebelum memulakan pengajian.
“Saya amat memerlukan bantuan ini kerana pendapatan bulanan ibu daripada pencen arwah ayah adalah terhad dan perlu digunakan untuk menampung pelbagai keperluan, termasuk yuran pengajian serta peralatan akademik yang perlu dibeli,” katanya.
Bagi Afif, peluang melanjutkan pengajian di UTM menjadi ruang untuk meneruskan usaha membina masa depan, di samping mengembangkan kemahiran yang diperoleh melalui pengalaman berniaga sejak di matrikulasi.
Daripada menjual nasi berlauk dan menerima tempahan gunting rambut, Afif kini bersedia membawa pengalaman tersebut ke alam universiti dengan harapan dapat mengembangkan kemahiran keusahawanan dan membina perniagaan yang lebih kukuh pada masa hadapan.












