oleh Mohd Raizol Ramli dan Mohd Faiz Zabri
KUALA LUMPUR: Pasukan olahraga Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) membanggakan kontinjen universiti apabila kuartet 4×100 meter (m) wanita bukan sahaja menyumbang pingat emas pertama pada Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026, malah turut memecahkan rekod kejohanan di Universiti Malaya, semalam.
Gandingan mantap Fatin Ilyana Mat Nayan, Nurul Wardatul Huwaida Mohd Hamka, Mis’ezatul Shafieqa Sapawi dan Nur Izzati Eliana Suhaidi melakar kejayaan manis itu selepas menamatkan larian dengan catatan 46.60 saat (s). Mereka menewaskan pencabar utama, Universiti Putra Malaysia (UPM) yang meraih perak (47.72s), manakala Politeknik Malaysia (POLI) membawa pulang gangsa (50.53s).

Salah seorang pelari kuartet, Fatin Ilyana Mat Nayan menyifatkan kejayaan itu sebagai hasil komitmen tinggi pasukan serta sokongan padu yang diberikan oleh pihak universiti sepanjang tempoh latihan.
“Persediaan kami agak intensif dan fokus utama adalah untuk memantapkan pertukaran baton serta larian. Kami amat berterima kasih kepada pihak UPSI yang sentiasa menyediakan kemudahan terbaik, sokongan moral dan keperhatinan tinggi terhadap kebajikan atlet. Sokongan inilah yang menjadi pendorong utama untuk kami memberikan larian terbaik demi mengharumkan nama universiti,” katanya.
Momentum cemerlang skuad olahraga UPSI diteruskan menerusi kuartet 4x100m lelaki yang meraih pingat perak dengan catatan pantas 40.16s—hanya dipisahkan 0.18s di belakang UPM yang meragut emas (39.98s), sementara POLI meraih gangsa (41.75s).
Tujuh Pingat Hari Pertama Olahraga
Selain acara lari pecut berpasukan, kem olahraga UPSI turut menuai lima lagi pingat pada hari pertama pertandingan:
- Pingat Perak:
- Lompat Jauh Lelaki: Muhd Harith Haikal (7.10m)
- Rejam Lembing Wanita: Farisha Athirah (36.21m)
- 10,000m Jalan Kaki Wanita: Kaarthiyani a/p Parameswaran (59:51.59s)
- Pingat Gangsa:
- 10,000m Jalan Kaki Wanita: Putri Yasmin Mohd Pisol (1:03:13.46s)
- 400m Wanita: Chelsea Cassiopea Evali Bopulas (58.92s)
Secara keseluruhan, pasukan olahraga UPSI menutup saingan hari pertama dengan gandingan satu emas, empat perak dan dua gangsa. Kejayaan awal ini menjadi suntikan semangat buat kontinjen UPSI untuk terus memburu pingat dalam baki acara yang dipertandingkan.












