Oleh : Unit Kebajikan dan OKU BHEPA

PULAU PINANG, 28 Ogos 2026 – Unit Kebajikan, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni, Universiti Sains Malaysia terus menzahirkan keprihatinan terhadap kebajikan mahasiswa dengan menziarahi dan menyalurkan sokongan kepada seorang pelajar tahun satu yang sedang menerima rawatan susulan kemalangan jalan raya di Kampung Parit Amat, Muar, Johor.
Faris Nabihan Muhamad Fitree, pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Fizik, terlibat dalam kemalangan tersebut pada malam 26 Ogos 2026 yang mengakibatkan beliau mengalami patah tulang pada bahagian tangan serta luka di tangan dan kaki.
Beliau kini masih menerima rawatan di Wad 3, Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar, Johor, sementara menunggu giliran menjalani pembedahan bagi merawat patah tulang berkenaan yang dijangka melibatkan pemasangan plat titanium, namun tarikh pembedahan masih belum dapat ditentukan dan bergantung kepada ketersediaan slot pembedahan pihak hospital.
Sebagai tanda keprihatinan dan sokongan berterusan, delegasi ziarah yang diketuai oleh Ketua Unit Kebajikan BHEPA Kampus Induk, Puan Siti Meszaida Mohd Ehsan, bersama Encik Mohd Nur Badri Mohd Nazli, Pegawai Kebudayaan Unit Kebudayaan dan Kesukarelawan (PUMA) BHEPA Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin turut menyampaikan buah tangan kepada Faris Nabihan.
Kunjungan tersebut mencerminkan komitmen berterusan USM dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan mahasiswa sentiasa diberi perhatian, khususnya ketika mereka berdepan cabaran yang tidak dijangka sepanjang perjalanan pengajian. Seluruh warga Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni USM mendoakan agar Faris Nabihan dikurniakan kesembuhan, dipermudahkan segala urusan rawatan dan pembedahan serta diberikan kekuatan untuk kembali pulih dan meneruskan pengajian seperti biasa.
Untuk lebih banyak berita, ikuti kami di https://hepa.usm.my/












