Advertisement

UiTM Perkukuh Kebajikan Mahasiswa Menerusi Food Bank Dapur Siswa MADANI

Sekumpulan pegawai UiTM bergambar sambil memegang plakad yang memaparkan jumlah peruntukan Food Bank Dapur Siswa MADANI mengikut cawangan.

Oleh: Mohd Azfar Syukri Yusien

SHAH ALAM, 20 Ogos 2026 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) terus memperkukuh agenda kebajikan mahasiswa menerusi pelaksanaan Food Bank Dapur Siswa MADANI bagi membantu memenuhi keperluan makanan mahasiswa di seluruh sistem universiti.

Satu sesi penerangan mengenai pelaksanaan inisiatif tersebut telah diadakan di UiTM Shah Alam, disusuli penyampaian simbolik dana kepada UiTM Shah Alam dan cawangan-cawangan UiTM di seluruh negara. Sesi berkenaan turut memberi ruang kepada pihak pengurusan untuk melihat pelaksanaan dan pengoperasian inisiatif kebajikan mahasiswa di peringkat kampus.

Menerusi Food Bank Dapur Siswa MADANI, dana awal berjumlah RM871,272.65 daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi Yayasan Perkasa Siswa (YPS) telah diagihkan kepada seluruh sistem UiTM bagi menyokong pelaksanaan inisiatif berkenaan.

Penyampaian simbolik dana tersebut telah disempurnakan oleh Prof. Dr. Haji Mohd Sazili Shahibi, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM. Beliau turut meninjau kemudahan, sistem pengurusan serta bekalan makanan yang disediakan dalam menyokong pelaksanaan Food Bank Dapur Siswa MADANI di UiTM Shah Alam.

Timbalan Rektor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM Cawangan Selangor menerima penyampaian simbolik jumlah peruntukan Food Bank Dapur Siswa MADANI yang disalurkan kepada cawangan berkenaan.

Sesi penerangan yang diadakan turut memberi ruang kepada wakil UiTM Shah Alam dan cawangan untuk bertukar pandangan mengenai amalan terbaik dalam pelaksanaan Food Bank Dapur Siswa MADANI, sekali gus menyelaras pelaksanaan inisiatif berkenaan mengikut keperluan mahasiswa di kampus masing-masing.

Turut hadir ke sesi penerangan tersebut adalah Encik Mohd Rizal bin Nordin; Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Hajar Hasrol Jono, Pengarah Pusat Kesatria dan Kokurikulum UiTM; Hjh. Ikwana Hj. Misnan, Pengarah Pusat Residensi dan Hospitaliti Pelajar serta Dr. Firdaus Mohamad, Pengetua Kolej Meranti dan Seroja, bersama Timbalan-Timbalan Rektor (Hal Ehwal Pelajar) dari UiTM Cawangan.

Timbalan Rektor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM Cawangan Pulau Pinang menerima penyampaian simbolik jumlah peruntukan Food Bank Dapur Siswa MADANI yang disalurkan kepada cawangan berkenaan.

Pelaksanaan Food Bank Dapur Siswa MADANI diharap dapat memperkukuh sokongan makanan kepada mahasiswa yang memerlukan serta memastikan aspek kebajikan dan kesejahteraan pelajar terus diberikan perhatian, selaras dengan komitmen KPT, YPS dan UiTM dalam memperkasa kebajikan mahasiswa.