oleh : Mohd Faiz Zabri
Tongyeong, Korea Selatan, 8 November 2026 – Nur Adlina Nasreen Mohd Nasri mencipta pengalaman bermakna di pentas pelayaran antarabangsa apabila berjaya mengemudi pasukan pelayaran Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang mewakili Malaysia untuk meraih tempat keenam keseluruhan kategori J70 pada kejohanan 20th Yisunsin International Yacht Race 2026 di Tongyeong, Gyeongsangnam-do, di sini, hari ini.
Kejohanan yang berlangsung dari 4 hingga 8 Nov itu menyaksikan Nur Adlina Nasreen menggalas tanggungjawab penting sebagai nakhoda (skipper) dalam mengetuai skuad UPSI menghadapi persaingan sengit melibatkan lapan pasukan dari empat negara, iaitu Malaysia, Korea Selatan, Thailand dan China.

Sebagai nakhoda, beliau memainkan peranan utama dalam mengemudi bot, merancang strategi perlumbaan, menyelaras pergerakan kru serta membuat keputusan taktikal berdasarkan keadaan angin dan situasi semasa di perairan.
Di bawah kepimpinannya, skuad UPSI yang menggunakan bot bernombor layar KOR615 berjaya mengumpul 52 mata penalti keseluruhan selepas mengharungi 10 perlumbaan, sekali gus menamatkan saingan di kedudukan keenam keseluruhan.
Antara pencapaian terbaik pasukan ialah menduduki tempat keempat pada perlumbaan keenam, membuktikan kemampuan skuad UPSI untuk memberikan saingan sengit kepada pasukan antarabangsa yang lebih berpengalaman.

Kejayaan tersebut turut memperlihatkan keupayaan Nur Adlina Nasreen dalam memikul tanggungjawab sebagai nakhoda, khususnya dari aspek kepimpinan, komunikasi, kerjasama berpasukan dan ketenangan ketika membuat keputusan dalam situasi mencabar.
Skuad pelayaran UPSI dibimbing oleh jurulatih Asri Azman, manakala Muhamad Danish Danial Mohamad Fadzil bertindak sebagai boatman yang membantu aspek teknikal dan persediaan bot sepanjang kejohanan.
Beliau turut dibantu tiga kru, iaitu Nur Dania Mohamad Fadzil, Isyraf Zikry Mohd Imran dan Mohd Faiz Zabri, yang memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran pengendalian bot serta pelaksanaan strategi perlumbaan.

Kategori J70 menyaksikan pasukan Seaman dari Thailand muncul juara keseluruhan dengan 19 mata penalti, diikuti Team Zhik dari Korea Selatan di tempat kedua dengan jumlah mata yang sama, manakala Boryeong Yacht Team (Korea Selatan) menduduki tempat ketiga dengan 26 mata penalti.
Penyertaan Nur Adlina Nasreen sebagai nakhoda di pentas antarabangsa ini turut menyerlahkan potensi atlet pelayaran UPSI, khususnya dalam membangunkan bakat kepimpinan dan kemahiran teknikal untuk bersaing pada peringkat lebih tinggi.
Keupayaannya mengetuai pasukan dalam kejohanan berprestij itu juga menjadi contoh positif kepada atlet mahasiswa, khususnya golongan wanita, untuk terus berani menyahut cabaran dan membuktikan kemampuan dalam sukan pelayaran kompetitif.

Pencapaian berkenaan mencerminkan komitmen berterusan Pusat Sukan UPSI dalam memperkasakan pembangunan atlet mahasiswa melalui penyertaan kejohanan antarabangsa, sekali gus membuka ruang kepada mereka memperoleh pendedahan berharga.
Walaupun menamatkan saingan di tempat keenam, pengalaman yang diraih skuad negara itu diharap menjadi pemangkin untuk terus meningkatkan prestasi, memperkukuh strategi perlumbaan dan mencipta kejayaan lebih membanggakan pada masa hadapan.













