Advertisement

Pelajar USM Naib Johan Kategori Terbuka Wanita 10km Pada Larian Hari Keputeraan Sultan Nazrin Shah 2026

Oleh : NirMaryadi Rashid, Unit Media dan Penerbitan BHEPA

Foto : Chow Wai Yee

PULAU PINANG, 27 November 2026 – Pelajar Tahun 4, Pusat Pengajian Sains Matematik, Universiti Sains Malaysia, Chow Wai Yee, mengharumkan nama universiti apabila berjaya merangkul tempat kedua bagi kategori Terbuka Wanita 10 Kilometer (Women Open 10KM) pada Larian Hari Keputeraan Sultan Nazrin Shah (LHKSNS) 2026 yang berlangsung di Dataran Pavilion pada 22 November baru-baru ini.

Kejayaan cemerlang itu membolehkan beliau membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM500 berserta trofi kemenangan. Lebih membanggakan, hadiah kemenangan tersebut telah berkenan disampaikan sendiri oleh Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim.

Penganjuran LHKSNS 2026 yang berjaya menghimpunkan penyertaan kira-kira 10,014 peserta dari dalam dan luar negara itu diadakan bersempena dengan sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-70 Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan pada 6 November lalu.

Acara larian yang dilepaskan seawal pukul 6.45 pagi itu menyaksikan para peserta melalui laluan ikonik yang merentasi kawasan perkampungan sekitar Mukim Sayong, Kota Lama Kanan serta Jambatan Sultan Abdul Jalil Shah.

Sepanjang laluan larian tersebut, para peserta turut disajikan dengan pelbagai pengisian menarik seperti persembahan kebudayaan, permainan tradisional dan demonstrasi pembuatan Labu Sayong.

Inisiatif berunsur kebudayaan berkenaan sekali gus memberi peluang kepada para pelari untuk menghayati keunikan warisan seni, budaya dan tradisi masyarakat setempat di Bandar Diraja itu.

Pencapaian membanggakan oleh Chow Wai Yee ini turut membuktikan keupayaan mahasiswa USM untuk mengimbangi kecemerlangan akademik dengan penglibatan aktif dalam bidang sukan di peringkat kebangsaan, sejajar dengan pemerkasaan elemen mahasiswa H.E.B.A.T. (Holistic, Entrepreneurial, Balanced, Articulate, Thinking).

Total Views: 3