Advertisement

Ikatan Ibarat Isi dengan Kuku Pacu Kejayaan Kembar Tiga Bergraduasi di USM

Oleh : NirMaryadi Rashid, Unit Media dan Penerbitan BHEPA

PULAU PINANG, 26 November 2026 — Tiga beradik kembar mencipta detik penuh bermakna apabila berjaya menerima ijazah masing-masing secara serentak dalam bidang Sains Kemasyarakatan sempena Upacara Konvokesyen Ke-64 Universiti Sains Malaysia di sini, hari ini.

Mohamed Azwan, Mohamed Azmin, dan Mohamed Azrul, masing-masing menerima skrol ijazah berkenaan setelah memulakan pengajian di USM sejak 8 Oktober 2022, sekali gus membanggakan ibu bapa mereka, Dawlath Mohamed Ahmad, 57, dan Nasirabanu S Inayadulla, 53.

Kembar ‘sulung’, Mohamed Azmin berkata, ikatan persaudaraan yang akrab ibarat isi dengan kuku menjadi pemangkin utama kejayaan mereka menamatkan pengajian secara bersama-sama.

Menurutnya, selain aktif dalam bidang sukan seperti bola sepak dan olahraga, mereka bertiga turut berkongsi minat mendalam terhadap subjek perakaunan dan matematik serta memasang impian yang sama untuk bergelar pendidik pada masa hadapan.

“Kami sentiasa saling membantu dan menjadi tulang belakang antara satu sama lain sepanjang tempoh pengajian di USM sehingga berjaya menggenggam ijazah pada hari ini,” katanya ketika ditemui selepas sidang konvokesyen tersebut.

Terdahulu, anak ketiga, keempat dan kelima daripada lima beradik yang mempunyai dua orang abang itu turut melakar kecemerlangan akademik sebelum menjejakkan kaki ke USM apabila masing-masing memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.71, 3.69 dan 3.55 dalam pengajian Diploma Perakaunan di Politeknik Seberang Perai (PSP).

Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni, Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya serta seluruh warga kampus mengucapkan Syabas dan tahniah atas kejayaan mereka. “Sesungguhnya kejayaan trio berkenaan merupakan antara sorotan manis sempena Upacara Konvokesyen Ke-64 USM yang meraikan para graduan daripada pelbagai bidang pengajian,” ujarnya lagi.

Total Views: 3