Oleh : NirMaryadi Rashid, Unit Media dan Penerbitan BHEPA

PULAU PINANG, 26 November 2026 :- Penglibatan aktif badan pertubuhan pelajar dalam mengendalikan acara berprestij universiti menjadi pemangkin utama bagi meningkatkan kualiti penganjuran majlis di samping menggilap kemahiran insaniah mahasiswa.
Menerusi Jawatankuasa Hospitaliti Upacara Konvokesyen Universiti Sains Malaysia, Kor Sukarelawan Polis Siswa/Siswi (Kor SUKSIS) dan Sekretariat Sukarelawan Universiti Sains Malaysia (SUKASS) tampil sebagai tulang belakang yang bertugas sepanjang berlangsungnya upacara konvokesyen bermula pada 24 November 2026 hingga 1 Disember 2026.

Dengan kekuatan seramai 30 anggota dari pelbagai tahun dan pusat pengajian secara bergilir-gilir bagi setiap sidang, Kor SUKSIS tidak hanya tertumpu kepada kawalan keselamatan, malah bertindak proaktif memberikan bantuan tunjuk arah kepada para graduan serta tetamu.
Tugasan anggota Kor SUKSIS di lokasi strategik seperti pintu utama dan perkarangan Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP), Dataran Merah, ruang legar perpustakaan, serta dewan kuliah secara langsung memupuk nilai kepimpinan, disiplin, semangat patriotisme, dan pengetahuan undang-undang dalam diri siswa.

Manakala seramai 25 orang sukarelawan SUKASS memainkan peranan penting di balik tabir dengan membantu para graduan mengemaskan diri serta merapikan pemakaian jubah konvokesyen agar tampil segak dan mematuhi protokol sebelum melangkah masuk ke dalam dewan.



Komitmen tinggi dan kerjasama erat kedua-dua badan pelajar ini membuktikan keupayaan mahasiswa USM untuk bertindak sebagai rakan strategik universiti dengan mempamerkan tahap profesionalisme serta keterampilan yang membanggakan. Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumniserta seluruh warga kampus merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada warga Kor SUKSIS dan SUKASS atas dedikasi luar biasa mereka dalam menjayakan acara rasmi universiti.












