Advertisement

16,225 pelajar UTM keluar mengundi memilih MPP sesi 2026/2027

Oleh : Mohammad Faris Salihin Md Noor

JOHOR BAHRU, 11 Nov. – Seramai 16,225 daripada 28,289 pengundi berdaftar telah menunaikan tanggungjawab mengundi dalam pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi Sesi 2026/2027 yang berlangsung pada 11 November 2026, dengan kadar keluar mengundi sebanyak 57.35 peratus di kedua-dua kampus.

Keputusan yang diumumkan oleh Jawatankuasa Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (JPMPP) UTM itu menandakan pembentukan barisan kepimpinan pelajar baharu yang akan membawa suara dan aspirasi warga kampus.

Daripada keseluruhan 28,289 pengundi berdaftar, seramai 21,869 merupakan pelajar prasiswazah, manakala 6,420 lagi ialah pelajar pascasiswazah.

UTM Johor Bahru mencatatkan kadar keluar mengundi sebanyak 63.42 peratus, melibatkan 14,408 daripada 22,717 pengundi berdaftar. Sementara itu, UTM Kuala Lumpur merekodkan kadar sebanyak 32.61 peratus, bersamaan 1,817 daripada 5,572 pengundi.

Prof. Dr. Mohd Shahrizal Sunar bergambar bersama calon MPP UTM Sesi 2026/2027

Pemilihan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha universiti menyediakan ruang kepada pelajar untuk mengamalkan proses demokrasi kampus, membuat pilihan secara bertanggungjawab dan menentukan wakil yang akan membawa kepentingan serta aspirasi komuniti pelajar.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Mohd Shahrizal Sunar, merakamkan penghargaan kepada semua pelajar yang mengambil bahagian dalam pemilihan itu, selain mengucapkan tahniah kepada calon yang berjaya memperoleh mandat.

“Tahniah kepada semua calon yang berjaya memperoleh mandat dan kepercayaan pelajar. Kemenangan ini bukan sekadar satu pengiktirafan, tetapi amanah besar untuk memastikan suara, kebajikan dan aspirasi pelajar terus diberikan perhatian,” katanya.

Beliau berharap barisan MPP yang baharu dapat menggalas tanggungjawab dengan progresif, berintegriti dan berorientasikan penyelesaian, selain menjalin kerjasama erat dengan pihak pengurusan universiti.

“Saya berharap barisan MPP yang baharu dapat tampil sebagai kepimpinan yang progresif, berintegriti dan berorientasikan penyelesaian. Jadilah rakan strategik universiti yang bukan sahaja menyuarakan pandangan, tetapi turut bersama-sama mencari penyelesaian dan membawa perubahan positif kepada kehidupan kampus,” ujarnya.

Menurut beliau, kepimpinan pelajar yang berkesan bukan sahaja dinilai berdasarkan keupayaan menyuarakan pandangan, malah turut melibatkan kesediaan memikul amanah, membina kesepakatan dan mengemukakan cadangan yang konstruktif berdasarkan isu serta keperluan pelajar.

Barisan pengurusan Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) bergambar bersama MPP UTM Sesi 2026/2027

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan MPP UTM Sesi 2026/2027, Muhammad Asyraf Syazwan Asnizam, menyifatkan penyertaan pelajar dalam pemilihan kali ini sebagai gambaran kesedaran terhadap kepentingan proses demokrasi di kampus.

“Kami menghargai komitmen semua pelajar yang telah menggunakan hak mereka untuk memilih wakil kepimpinan MPP. Setiap undi membawa harapan dan kepercayaan terhadap calon yang bakal mewakili suara pelajar,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua calon, petugas dan pihak yang terlibat dalam menjayakan proses pemilihan tersebut.

“Terima kasih juga kepada semua calon, petugas dan pihak yang terlibat sepanjang proses pemilihan. Kami berharap barisan MPP yang dipilih dapat melaksanakan amanah dengan penuh integriti, keterbukaan dan tanggungjawab,” tambahnya lagi.

Selain memilih wakil kepimpinan pelajar, proses pemilihan itu turut memberi pengalaman kepada mahasiswa untuk memahami amalan demokrasi, membuat keputusan secara bertanggungjawab serta menghormati perbezaan pandangan.

Pengalaman tersebut juga membuka ruang kepada pembudayaan kepimpinan berasaskan nilai, komunikasi dua hala dan penglibatan aktif pelajar dalam perkara yang berkaitan dengan kehidupan kampus.

Warga universiti yang menghadiri sesi pengumuman keputusan Pemilihan MPP UTM Sesi 2026/2027

Barisan MPP Sesi 2026/2027 yang menerima mandat diharapkan dapat memberikan perhatian kepada agenda kebajikan dan kesejahteraan pelajar, pembangunan kepimpinan, kebolehpasaran graduan serta hubungan antara mahasiswa dengan pihak pengurusan universiti.

Selaras dengan aspirasi UTM ASCEND 2030, penglibatan pelajar dalam proses demokrasi kampus turut menyokong usaha universiti membentuk pemimpin muda yang berintegriti, berdaya saing dan mempunyai kesedaran terhadap tanggungjawab sosial.

Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTM merakamkan tahniah kepada semua calon yang berjaya dipilih serta penghargaan kepada seluruh warga kampus yang terlibat dalam menjayakan Pemilihan MPP Sesi 2026/2027. Barisan kepimpinan baharu itu diharapkan dapat melaksanakan amanah dengan penuh dedikasi serta menyumbang secara bermakna kepada kesejahteraan komuniti pelajar dan kecemerlangan universiti.

Sumber: UTM NewsHub

Total Views: 2