Oleh: Mohd Azfar Syukri Yusien
SHAH ALAM, 23 November 2026 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) sekali lagi membuktikan kecemerlangan mahasiswanya di persada antarabangsa apabila dinobatkan sebagai juara Malaysian Bar Sports Arbitration Mooting Competition (MyBAR SAMCO) 2026 yang berlangsung secara dalam talian pada 13 hingga 15 November 2026.
Pertandingan antarabangsa anjuran Malaysian Bar Council Sports Law Practice Committee itu menghimpunkan mahasiswa undang-undang dari Malaysia, Filipina dan Singapura bagi membahaskan isu-isu perundangan kompleks berkaitan timbang tara sukan (sports arbitration). Penganjurannya turut menyediakan platform kepada peserta untuk mengasah kemahiran penyelidikan perundangan, penaakulan analitikal dan penghujahan melalui simulasi prosiding timbang tara.
UiTM diwakili oleh tiga pasukan yang terdiri daripada sepuluh mahasiswa Fakulti Undang-Undang. Penyertaan tersebut mencerminkan komitmen universiti dalam menyediakan pendedahan praktikal kepada mahasiswa bagi mengaplikasikan pengetahuan perundangan yang dipelajari di bilik kuliah.
Pasukan pertama dianggotai oleh Mohamad Aiman Izzat M Samuel, Aaliah Natasyah Alek @ Abdul Malek, Muhammad Amsyar Ku Ahmad Adzam dan Velica Theodosia Armando.
Pasukan kedua pula dibarisi Muhammad Amrun Muhammad Firdaus, Khairyn Aqila Khairu Faridallah dan Muhammad Umaeer Arabi Mohammad Shakeel, manakala pasukan ketiga diwakili Mohamad Izz Danish Ishak, Muhammad Ilham Firdaus Nor Hoda dan Nur Melyzza Saha Mohd Sufian.
Juara MyBAR SAMCO 2026
Sepanjang pertandingan berlangsung, ketiga-tiga pasukan UiTM mempamerkan prestasi yang memberangsangkan, termasuk melalui dua pertemuan sesama pasukan UiTM pada pusingan awal dan suku akhir. Pasukan kedua berjaya melepasi peringkat suku akhir sebelum menewaskan pasukan Multimedia University (MMU) pada peringkat separuh akhir.
Kejayaan tersebut melayakkan pasukan kedua mara ke peringkat akhir untuk berdepan Singapore Management University (SMU). Menerusi persembahan penghujahan yang meyakinkan, pasukan UiTM berjaya mengatasi cabaran SMU sekali gus muncul sebagai juara MyBAR SAMCO 2026.
Kecemerlangan UiTM turut mendapat pengiktirafan menerusi pencapaian Muhammad Ilham Firdaus Nor Hoda daripada pasukan ketiga yang disenaraikan dalam kelompok sepuluh penghujah terbaik (Top 10 Oralists) bagi pusingan umum pertandingan. Pengiktirafan tersebut menyerlahkan keupayaan individu mahasiswa UiTM dalam menyampaikan penghujahan perundangan secara berkesan.
Di sebalik kejayaan tersebut, Nurus Sakinatul Fikriah Mohd Shith Putera turut memainkan peranan penting sebagai tonggak utama dalam membimbing dan melatih ketiga-tiga pasukan UiTM sepanjang persiapan serta pelaksanaan pertandingan. Komitmen beliau dalam memberikan tunjuk ajar, memperkukuh kemahiran penghujahan dan mendampingi para peserta sepanjang pertandingan menjadi antara faktor penting yang menyumbang kepada kecemerlangan pasukan UiTM di pentas antarabangsa.

Kejayaan ini turut diraikan bersama barisan pengurusan Fakulti Undang-Undang UiTM yang diketuai oleh Dekan, Prof. Madya Dr. Nur Ezan Rahmat, bersama Timbalan Dekan Hal Ehwal Akademik, Dr. Muhammad Umar Abdul Razak; Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar, Dr. Muhammad Fikri Othman; serta Ketua Pusat Advokasi dan Resolusi Pertikaian, Puan Mimi Sintia Mohd Bajury. Barisan pengurusan fakulti turut merakamkan kenangan bersama para peserta sebagai tanda penghargaan terhadap pencapaian mereka dalam pertandingan tersebut.

Pencapaian ini bukan sahaja mencerminkan ketekunan, disiplin dan semangat berpasukan mahasiswa, malah membuktikan kepentingan pembelajaran berasaskan pengalaman dalam memperkukuh penguasaan ilmu perundangan, khususnya dalam bidang penyelesaian pertikaian dan timbang tara sukan.
Fakulti Undang-Undang UiTM turut merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada kesemua sepuluh mahasiswa yang menyertai pertandingan tersebut, khususnya pasukan kedua atas kejayaan meraih kejuaraan serta Muhammad Ilham Firdaus Nor Hoda atas pengiktirafan individu yang diterima. Kejayaan ini diharap menjadi inspirasi kepada mahasiswa lain untuk terus menyerlahkan potensi dan mengharumkan nama universiti di peringkat kebangsaan serta antarabangsa.

Gambar ehsan Fakulti Undang-Undang UiTM













