Advertisement

MPP, PEARL dan PMKI UniSZA Berganding Bahu Lancar Kempen Perkasa Kesedaran Penjagaan Aurat Mahasiswa

KUALA NERUS, 21 November 2026 – Memperkukuh nilai keperibadian, memelihara maruah diri dan membudayakan penghayatan Islam dalam kehidupan mahasiswa menjadi matlamat utama penganjuran Majlis Peluncuran Kempen Khalifah Masa Depan: Aurat Terjaga, Maruah Terpelihara hasil kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Performing Arts Leadership (PEARL) dan Persatuan Mahasiswa Kontemporari Islam (PMKI) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Majlis yang berlangsung di Dewan Resital, Pusat Kesenian dan Warisan (PKW), UniSZA itu menjadi manifestasi komitmen kepimpinan mahasiswa dalam menggerakkan agenda pembangunan sahsiah dan pembentukan generasi mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah teguh dengan nilai agama serta prinsip kehidupan.

Majlis peluncuran tersebut turut diserikan dengan pengisian Kuliah Dhuha yang disampaikan oleh penceramah jemputan, Ustaz Haji Ahmad Rizam bin Ghazali, yang membawa perkongsian berkaitan kepentingan menjaga aurat sebagai tuntutan agama serta lambang penghormatan terhadap maruah dan kehormatan diri.

Turut hadir mewakili Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) ialah Pengarah Pusat Kesenian dan Warisan, Encik Shahzool Hazimin bin Azizam dan Pengarah Pusat Pengajian Asasi Sains dan Perubatan (PUSPA), Prof. Madya Dr. Sharifah Wajihah Wafa binti Syed Saadun Tarek Wafa.

Penganjuran kempen ini mencerminkan peranan penting mahasiswa sebagai penggerak perubahan positif di kampus, khususnya dalam menyampaikan mesej kesedaran melalui pendekatan yang dekat dengan kehidupan dan realiti generasi muda.

Kerjasama strategik antara MPP, PEARL dan PMKI juga memperlihatkan kekuatan sinergi kepimpinan mahasiswa merentas persatuan dalam menjayakan agenda pembangunan mahasiswa yang seimbang dari aspek intelektual, spiritual dan sahsiah.

Melalui kempen ini, mahasiswa diharap dapat meningkatkan kefahaman serta kesedaran mengenai kepentingan memelihara aurat, di samping menjadikan nilai kesopanan, rasa hormat dan tanggungjawab terhadap diri sebagai sebahagian daripada budaya kehidupan di kampus.

Sesungguhnya, pembentukan Khalifah Masa Depan bukan sekadar melahirkan mahasiswa berilmu dan berkemahiran, tetapi juga insan yang mempunyai jati diri, berprinsip serta mampu menjadi teladan kepada masyarakat.

Future Caliph, Demi UniSZA!

Total Views: 13