KUALA TERENGGANU, 15 November 2026 – Keupayaan mahasiswa Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) mengembangkan bakat komunikasi dan kepimpinan melalui platform penyiaran terus terserlah apabila mahasiswa Performing Arts Leadership (PEARL), Muhammad Nur A’sif bin Md Noor, diberi peluang menjadi personaliti undangan dalam Rancangan Silang Budaya Terengganufm 2026 terbitan Jabatan Penyiaran Negeri Terengganu (RTM).

Mahasiswa Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK) yang juga merupakan CEO Apprentice Pesona FM UniSZA itu telah bersiaran secara langsung dari Konti Terengganufm, Bukit Pak Apil, Kuala Terengganu dengan membawa tema “Radio Komuniti: Suara Tempatan, Impak Nasional”.
Menerusi sesi tersebut, Muhammad Nur A’sif berkongsi pengalaman serta memperkenalkan Pesona FM UniSZA, khususnya mengenai peranan stesen radio mahasiswa itu sebagai platform pengembangan bakat, kreativiti dan kemahiran komunikasi dalam kalangan warga kampus.

Perkongsian turut menyentuh aspek pengoperasian Pesona FM serta penglibatan aktif mahasiswa dalam pelbagai aktiviti penyiaran, sekali gus membuka ruang interaksi dan pertukaran pandangan bersama pihak penyiaran profesional menerusi sesi soal jawab berkaitan dunia radio.
Peluang berharga itu bukan sahaja memberikan pendedahan secara langsung kepada mahasiswa mengenai suasana dan profesionalisme industri penyiaran, malah menjadi platform untuk memperluas pengenalan Pesona FM UniSZA kepada masyarakat serta khalayak pendengar yang lebih besar.
Penglibatan ini membuktikan bahawa mahasiswa bukan sekadar penerima ilmu di bilik kuliah, sebaliknya berupaya menjadi duta universiti yang membawa suara, idea dan kreativiti mahasiswa ke platform profesional.
Usaha seumpama ini diharap dapat terus menyuntik keyakinan kepada mahasiswa untuk meneroka potensi diri, mengasah bakat kepimpinan serta memperkukuh kemahiran komunikasi dan penyiaran, sekali gus melahirkan graduan holistik yang berani mencipta peluang dan menyerlah di peringkat lebih luas.
Future Caliph, Demi UniSZA!












