Oleh : Mohd Fadthul Ikmal Misnal
JOHOR BAHRU, 19 November 2026 – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menjadi tempat Ir. Nor Aznita Yusof dan Sr. Ahmad Saiful Hisyam Johari menimba ilmu serta bertemu jodoh.
Tiga dekad kemudian, pasangan itu kembali meraikan graduasi anaknya, melengkapkan perjalanan lima ahli keluarga sebagai alumni universiti yang sama.

Kehadiran mereka pada Majlis Konvokesyen UTM ke-70 (MK70) membawa nostalgia tersendiri apabila Ahmad Ariff Ahmad Saiful Hisyam menerima Diploma Seni Bina, menyusuli kejayaan dua abangnya yang bergraduasi pada tahun lalu.
Anak sulung, Ahmad Afiq Ahmad Saiful Hisyam, menamatkan pengajian Sarjana Muda Kejuruteraan Awam, manakala anak kedua, Ahmad Izzat Ahmad Saiful Hisyam, memperoleh Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal selepas melalui laluan Asasi UTMSPACE.
Bagi Ahmad Saiful Hisyam, detik menyaksikan kejayaan anak memberikan rasa “dua kali bangga”. Jika dahulu beliau hadir sebagai graduan dengan ditemani ibu dan arwah bapanya, kini beliau kembali bersama keluarga untuk meraikan generasi seterusnya.
Hubungan pasangan itu dengan UTM bermula pada 1992. Nor Aznita mengikuti pengajian Sarjana Muda Kejuruteraan Awam hingga 1997, manakala Ahmad Saiful Hisyam mengikuti program diploma integrasi Ukur Bahan dari 1992 hingga 1995.
Pertemuan di kampus UTM Skudai akhirnya membawa kepada ikatan perkahwinan, menjadikan UTM sebahagian daripada sejarah keluarga mereka.
Menurut Ahmad Saiful Hisyam, persaingan untuk meneruskan pengajian ketika itu amat sengit, dengan tempat bagi kohort yang ingin disertainya terhad kepada sekitar 25 pelajar.
Beliau kemudian menyambung pengajian di Glasgow Caledonian University, United Kingdom, menerusi tajaan British Council.
Walaupun meneruskan pengajian di luar negara, hubungan dengan UTM kekal dekat apabila ketiga-tiga anaknya turut memilih universiti berkenaan untuk membina masa depan masing-masing.
Pengalaman berbeza dua generasi
Bagi keluarga ini, berkongsi alma mater turut membuka ruang untuk bertukar cerita tentang kehidupan mahasiswa, tuntutan pengajian dan cabaran yang dilalui dalam zaman berbeza.
Pengajian Ahmad Ariff dalam bidang seni bina, misalnya, menuntut ketekunan menyiapkan lukisan dan tugasan reka bentuk. Waktu yang panjang di studio serta keperluan memperhalus hasil kerja sebelum penilaian menjadi sebahagian daripada pengalaman pembelajarannya.

Cabaran itu mengingatkan kembali ibu bapanya kepada disiplin akademik yang mereka lalui ketika menuntut di UTM.
Nor Aznita mengimbau bahawa pengajiannya ketika itu menggunakan sistem penggal, dengan peperiksaan akhir menjadi penentu penting kelulusan.
Menurutnya, hanya empat pelajar wanita dalam jurusannya berjaya melepasi tahun pertama untuk meneruskan pengajian ke tahun kedua.
Pengalaman tersebut meninggalkan kesan terhadap disiplin dan daya tahannya. Tuntutan untuk memahami ilmu dengan mendalam serta mempertahankan hasil kerja menjadi persediaan menghadapi tanggungjawab profesional selepas bergraduasi.
Kini, sebagai Pengarah Cawangan Dasar dan Pengurusan Korporat, Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia, Nor Aznita melihat asas pendidikan yang kukuh sebagai keperluan penting dalam perkhidmatan teknikal negara.
Ilmu memperkukuh kewibawaan profesional
Tambah Nor Aznita, 12 pegawai dan kakitangan JKR telah berjaya menamatkan pengajian di UTM pada konvokesyen kali ini.

Dua daripadanya menerima tajaan penuh Hadiah Latihan Persekutuan (HLP), manakala 10 lagi mengikuti pengajian secara separuh masa sambil meneruskan tugas dan tanggungjawab keluarga.
Kejayaan tersebut memperlihatkan kesungguhan warga JKR meningkatkan pengetahuan dan kelayakan meskipun berhadapan dengan tuntutan kerjaya serta kehidupan.
Sokongan terhadap pengajian lanjutan juga berkait rapat dengan tanggungjawab jabatan. Ulasan teknikal, nasihat kejuruteraan dan keputusan berkaitan projek memerlukan ilmu serta kompetensi profesional yang kukuh.
Asas itu membolehkan pegawai menilai masalah dengan teliti, menjelaskan pertimbangan teknikal dan mempertahankan cadangan yang sesuai untuk dilaksanakan.
Bagi Nor Aznita, nilai pendidikan turut terletak pada keupayaannya membentuk jati diri dan pemikiran kritis.
“Ilmu itulah yang akan memperkukuh jati diri kita. Cara kita berdepan dengan masalah. Sebab UTM ini akan membekalkan dan memberikan kita kemahiran menyelesaikan masalah ataupun dalam kata lain menjana pemikiran kritis.
Pesanan itu menjadi semakin relevan ketika kecerdasan buatan (AI) dan teknologi baharu mengubah cara manusia belajar serta bekerja. Penguasaan teknologi perlu disertai kebijaksanaan menentukan tujuan penggunaannya.
“Kita sekarang berdepan dengan teknologi, AI dan sebagainya. Tapi jati diri kita yang akan menentukan kita ke mana. Teknologi itu hanya sebagai alat bantu sahaja, tetapi ilmu yang akan memandu hala tuju kita dalam kehidupan.
Legasi UTM yang diteruskan
Graduasi Ahmad Ariff kini menambah satu lagi kenangan kepada hubungan keluarga itu dengan UTM. Daripada pertemuan ibu dan bapa pada 1992 hingga kejayaan ketiga-tiga anak, universiti berkenaan menjadi titik pertemuan perjalanan ilmu dua generasi.
Setiap ahli keluarga melalui bidang dan cabaran tersendiri. Namun, pengalaman mereka bertemu pada nilai yang sama iaitu ketekunan belajar, keberanian menghadapi kesukaran dan tanggungjawab menggunakan ilmu dengan sebaik-baiknya.
Bagi Nor Aznita dan Ahmad Saiful Hisyam, meraikan anak di universiti yang pernah membentuk diri mereka memberikan makna baharu kepada kenangan lama.
Legasi lima sekeluarga ini kini diteruskan melalui ilmu yang dibawa ke alam pekerjaan, jati diri yang dipelihara dan bakti yang disumbangkan kepada masyarakat.
Sumber: UTM NewsHub












