Advertisement

UTM Hulur Bantuan Segera, Santuni Pelajar Yang Ditimpa Musibah

Oleh : Adam Mohd Taha

JOHOR BAHRU, 13 NOVEMBER 2026 – Keprihatinan terhadap kebajikan dan kesejahteraan pelajar terus menjadi keutamaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) apabila satu sesi penyampaian bantuan segera telah diadakan di Pejabat Naib Canselor UTM bagi menyantuni seorang pelajar baharu yang sedang berdepan dengan ujian kehidupan dan tanggungjawab keluarga.

Muhammad Ilham bin Serri mendengar nasihat dan tunjuk ajar daripada YBhg. Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry bin Mohd Rahim

Pelajar berkenaan, Muhammad Ilham bin Serri, merupakan pelajar baharu dari Fakulti Kejuruteraan Awam yang sedang melalui ujian kehidupan apabila kehilangan bapa tersayang akibat serangan jantung pada tahun ini, sebelum beliau mendaftar sebagai pelajar baharu UTM. Dalam masa yang sama, ibunya baru sahaja selesai menjalani pembedahan di hospital dan kini sedang melalui tempoh pemulihan. Keadaan ini menuntut beliau untuk menggalas tanggungjawab menguruskan keperluan serta penjagaan ibu, di samping memastikan kebajikan adik-adiknya yang masih bersekolah terus terpelihara.

Menghadapi situasi tersebut, Muhammad Ilham perlu memikul tanggungjawab keluarga dalam keadaan yang mencabar, sambil berusaha meneruskan pengajian dan membina masa depan di UTM. Keadaan ini mendapat perhatian pihak universiti yang mengambil inisiatif untuk menghulurkan bantuan segera sebagai tanda keprihatinan dan sokongan kepada beliau sekeluarga.

Sesi penyampaian bantuan segera UTMCARE kepada pelajar yang memerlukan, disempurnakan oleh YBhg. Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry bin Mohd Rahim, Naib Canselor UTM

Sumbangan telah disampaikan oleh YBhg. Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry bin Mohd Rahim, Naib Canselor UTM, berupa barangan keperluan asas serta bantuan kewangan bagi membantu menampung perbelanjaan dan keperluan harian pelajar.

Sesi pertemuan oleh TNCHEPA, Pengarah Pusat Islam UTM, Dekan fakulti serta pegawai dari JTNCHEPA sebagai tanda keprihatinan serta sokongan universiti terhadap kebajikan dan kesejahteraan pelajar

Turut hadir memberikan sokongan ialah Prof. Dr. Mohd Shahrizal bin Sunar, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni); Prof. Madya Dr. Nurazmallail bin Marni, Pengarah Pusat Islam UTM; Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Rosli bin Hainin, Dekan Fakulti Kejuruteraan Awam serta pegawai-pegawai dari Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni).

Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan UTM dalam memastikan kebajikan pelajar sentiasa diberikan perhatian, khususnya mereka yang berhadapan dengan kesulitan hidup dan memerlukan sokongan bagi meneruskan pengajian. UTM percaya bahawa setiap pelajar berhak mendapat peluang untuk menimba ilmu dan membina masa depan tanpa dibatasi oleh kesukaran yang sedang dihadapi.

Sesungguhnya, universiti bukan sekadar tempat menimba ilmu, malah sebuah institusi yang turut berperanan sebagai keluarga yang prihatin, sentiasa bersedia menghulurkan bantuan dan memberikan sokongan kepada warganya. Semoga sumbangan yang disampaikan dapat meringankan beban yang ditanggung oleh Muhammad Ilham sekeluarga serta memberikan semangat untuk beliau terus tabah, cekal dan berjaya dalam perjalanan pengajiannya di UTM.

KEBAJIKAN ANDA, KEUTAMAAN KAMI.

Total Views: 2