Oleh: Siti Ruhaida Mohamed Radhi, Unit Media dan Penerbitan BHEPA USM

PULAU PINANG, 2 November 2026 – Pusat Pembangunan Pelajar, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni, Universiti Sains Malaysia terus memperkukuh tadbir urus pengurusan pelajar menerusi penganjuran Bengkel Pemantapan Tatakelola dan Garis Panduan Pengurusan Pelajar selama sehari di Bilik Pertubuhan Pelajar, Aras 2, Bangunan H21 USM, hari ini.
Bengkel yang dipimpin oleh Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar BHEPA, Profesor Dr. Azizah Omar itu menghimpunkan lebih daripada 20 orang pegawai dan staf BHEPA dengan memberi tumpuan kepada usaha membangunkan garis panduan yang melibatkan semua sektor dan unit di bawah BHEPA.

Antara pengisian utama ialah sesi khas Pembinaan Garis Panduan Strategik dan Berkesan yang disampaikan oleh Pegawai Tadbir Bahagian Pengurusan Akademik (BPA), Jabatan Pendaftar Kampus Induk, Encik Roslan Ismail, yang berkongsi pendekatan pembentukan garis panduan bersesuaian dengan keperluan organisasi.
Turut mengisi bengkel ialah perkongsian oleh Ketua Sektor Keusahawanan dan Inovasi, Pusat Pembangunan Pelajar BHEPA, Puan Hajar Zituakmar Mohd Fauzi mengenai tatacara permohonan International Standard Book Number (ISBN) sebagai pendedahan kepada proses penerbitan serta keperluan pengurusan dokumentasi secara teratur.
Melalui bengkel ini, BHEPA USM berharap agar pemahaman dan penyelarasan tatakelola yang diperkukuh dapat diterjemahkan kepada amalan pengurusan pelajar yang lebih sistematik, cekap dan berkesan, sekali gus meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan universiti.















