Advertisement

PPKKG & TISSA Perkasa Kesediaan Kerjaya Pelajar Menerusi Program From Campus To Career-Ready – MySiswaNow

Berita dan gambar oleh: Anis Zulaikha Kamal

SINTOK, 25 Oktober 2026 – Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG), Universiti Utara Malaysia (UUM) bersama Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA) dengan bantuan TISSA-UUM ACCA Ambassador telah menganjurkan program From Campus to Career-Ready. Perkongsian ini telah disampaikan oleh Yang Mulia Raja Azura Raja Mahayuddin, Ahli Lembaga Johor Plantations Group, Pengasas Bersama AKRAB Resource serta bekas Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju.

Program ini menampilkan dua sesi perkongsian utama, iaitu Yayasan Peneraju ACCA Scholarship Talk dan Hey AI, Make Me Career-Ready!, yang bertujuan memberikan pendedahan kepada pelajar mengenai peluang pembangunan kerjaya, tajaan pendidikan serta kemahiran yang diperlukan bagi mempersiapkan diri menghadapi alam pekerjaan.

Sesi pertama, Yayasan Peneraju ACCA Scholarship Talk, memberikan penerangan mengenai peluang pembiayaan dan sokongan Yayasan Peneraju dalam membantu pelajar Bumiputera melanjutkan pengajian serta membina laluan kerjaya sebagai profesional ACCA. Perkongsian ini turut membuka ruang kepada pelajar untuk memahami peluang yang tersedia dalam bidang perakaunan profesional.

Sementara itu, sesi kedua, Hey AI, Make Me Career-Ready!, memberi tumpuan kepada persediaan pelajar untuk memasuki pasaran kerja yang semakin kompetitif. Pelajar didedahkan kepada aspek yang menjadi keutamaan majikan dalam menilai graduan, termasuk kemahiran, pengalaman, pencapaian dan kebolehan menyesuaikan diri dengan keperluan industri.

Selain itu, program ini turut menampilkan sesi perkongsian berkaitan semakan resume menggunakan sistem Applicant Tracking System (ATS), iaitu teknologi yang digunakan oleh majikan untuk menapis dan menilai resume calon berdasarkan kriteria tertentu. Menerusi sesi ini, pelajar diberikan pendedahan tentang kepentingan menghasilkan resume yang tersusun, relevan dan mesra ATS bagi meningkatkan peluang mereka melepasi proses saringan awal majikan. Pendedahan ini diharap dapat membantu pelajar memahami amalan penyediaan resume yang lebih berkesan serta meningkatkan keyakinan mereka dalam memohon peluang pekerjaan selepas bergraduasi.

Menurut Penolong Pengarah Kanan PPKKG, Rose Fazlinda Yanti Abd Rashid, “Program seperti ini merupakan platform penting untuk memberikan pendedahan awal kepada pelajar tentang peluang pembangunan kerjaya serta keperluan sebenar industri. Persediaan menghadapi alam pekerjaan bukan sahaja bergantung kepada pencapaian akademik, malah turut melibatkan penguasaan kemahiran insaniah, pengalaman dan keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan dunia pekerjaan,” katanya.

Beliau turut berharap agar perkongsian yang disampaikan dapat membantu pelajar merancang laluan kerjaya dengan lebih jelas serta memanfaatkan peluang yang tersedia bagi meningkatkan kompetensi dan kebolehpasaran diri.

Penganjuran program ini mencerminkan komitmen UUM melalui PPKKG dan TISSA dalam memperkukuh kebolehpasaran graduan menerusi pendedahan kepada peluang pendidikan profesional, perkongsian industri dan pembangunan kemahiran kerjaya.

Diharapkan program seumpama ini dapat membantu pelajar mengenal pasti potensi diri, merancang laluan kerjaya dengan lebih strategik serta membina keyakinan untuk melangkah ke alam pekerjaan.

Total Views: 1