TANJONG MALIM, 31 OKTOBER 2026 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) menganjurkan Student Innovation Competition Exhibition 2026 (SINOVETS 2026) bertempat di Panggung Percubaan, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI.
Program julung-julung kali di peringkat universiti yang berlangsung pada 31 Oktober 2026 ini membawa tema “Menginsankan Aspirasi JIWA UPSI ke Arah Kecemerlangan Inovasi Pendidikan”. Acara berprestij ini dirasmikan oleh Naib Canselor UPSI, Profesor Dato’ Dr. Md Amin bin Md Taff selaku Penaung Program, serta turut dihadiri Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Profesor Dr. Norkhalid bin Salimin.

Dalam ucapan perasmian penutupnya, Naib Canselor UPSI, Profesor Dato’ Dr. Md Amin bin Md Taff, menegaskan kepentingan mahasiswa dan mahasiswi berperanan sebagai inovator berimpak tinggi. Beliau menyeru warga pelajar agar tidak sekadar menimba pengetahuan teoritikal di bilik kuliah, sebaliknya memanfaatkan kemahiran berfikir secara kritis untuk mengaplikasikan ilmu tersebut ke dalam penyelesaian masalah praktikal yang dihadapi oleh masyarakat dan ummah.enurut beliau, penganjuran SINOVETS 2026 berteraskan Aspirasi Naib Canselor 2026 dan menyokong agenda Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam memastikan hasil penyelidikan akademik dapat disalurkan secara terus kepada masyarakat. Usaha ini sekali gus membuka ruang pengkomersilan dan perundingan berimpak tinggi hasil daripada projek pelajar bersama-sama pensyarah penyelia mereka.
Pengerusi Program SINOVETS 2026, Profesor Madya Dr. Abdul Halim bin Masnan dari Fakulti Pembangunan Manusia UPSI, menjelaskan bahawa penganjuran ini menjadi platform rasmi universiti untuk mengetengahkan serta mengiktiraf hasil inovasi mahasiswa yang biasanya terhasil daripada penyelidikan Projek Tahun Akhir (FYP) mereka. Pendedahan ini memberi pengalaman awal kepada para pelajar mengenai standard pameran inovasi bertaraf antarabangsa seperti Malaysia Technology Expo (MTE), International Invention, Innovation & Technology Exhibition (ITEX), dan PECIPTA. Manakala projek inovasi yang berpotensi akan disenarai pendek oleh pihak EDGE UPSI untuk digilap dan diketengahkan sebagai produk yang mampu dikomersilkan seterusnya boleh menjana peluang kewangan kepada para inovator.

Sebanyak 60 projek inovasi daripada 10 fakulti mengambil bahagian dalam pertandingan ini. Kesemua hasil karya dinilai oleh 20 orang juri profesional merangkumi lima kategori utama iaitu Inovasi Pendidikan, Teknologi Digital dan AI, Keusahawanan dan Pengkomersilan, Sains Sosial dan Kemanusiaan serta Sains, Kesihatan dan Kesejahteraan.
Salah seorang peserta yang ditemui iaitu Sdri. Nurhafiza Nadzirah binti Saiful daripada Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi UPSI yang memenangi Pingat Emas dengan inovasi bertajuk Codefly: Block-based Drone Programming Learning Kit menyatakan penganjuran SINOVETS 2026 memberi peluang kepada peserta untuk membawa hasil inovasi keluar daripada skrin komputer dan makmal ke platform pameran sebenar. Sesi pembentangan bersama juri profesional telah membuka ruang maklum balas yang amat bernilai bagi menambah baik produk inovasi sebelum melangkah ke pertandingan yang lebih tinggi. Kesemua peserta bersyukur kerana universiti mengiktiraf usaha inovasi pelajar sebagai penyelesaian praktikal kepada isu pendidikan dan masyarakat.

Sepanjang program, para pengunjung dan peserta dihidangkan dengan pelbagai pengisian interaktif, antaranya slot Business Talk oleh PM Dr. Sharul Effendy bin Janudin daripada EDGE UPSI, persembahan pembukaan daripada Pusat Kebudayaan (PUSKEB), acara Explorace Inovasi, kuiz interaktif, serta cabutan bertuah.
Majlis diakhiri dengan sesi penyampaian pengiktirafan yang menyaksikan persaingan sengit peserta merebut 15 pingat Emas, 25 pingat Perak, 20 pingat Gangsa, serta Anugerah Khas bernilai RM500.00 bagi setiap kategori.

Penganjuran SINOVETS 2026 bukan sekadar penamat kepada perjalanan inovasi mahasiswa UPSI, sebaliknya menjadi titik mula penterjemahan idealisme generasi muda ke dalam realiti kehidupan. Berteraskan semangat “Menginsankan Aspirasi JIWA UPSI”, platform ini membuktikan bahawa bilik kuliah dan makmal universiti mampu lahirkan pencipta penyelesaian konkrit bagi cabaran pendidikan dan kesejahteraan ummah. Kejayaan para peserta bertanding menjadi cerminan bahawa apabila ilmu penyelidikan digabungkan dengan niat murni untuk berkhidmat kepada masyarakat, hasilnya bukan sahaja memenangi pingat, malahan membina masa depan negara yang lebih gemilang.













