Advertisement

Liqa Mahabbah Himpun 580 Mahasiswa i-Furqan UPSI, Pasak Jati Diri Murabbi

Oleh: Khadijah Maisarah Mohd Nasir & Ummikalsum Mat Lazim

TANJONG MALIM, 28 OKTOBER 2026 — Seramai 580 mahasiswa Institut Penyelidikan dan Pendidikan Tahfiz & Turath Islami (i-Furqan), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berhimpun menjayakan program Liqa Mahabbah i-Furqan sempena inisiatif Rabu Qalbu, di sini baru-baru ini.

Program anjuran i-Furqan itu menghimpunkan barisan kepimpinan, pensyarah, staf sokongan dan mahasiswa bagi memperkukuh ukhuwah, menyemai nilai kebersamaan serta membina jati diri pendidik yang berteraskan prinsip agama, akhlak dan adab.

Pengarah i-Furqan, Profesor Dr. Abd Rahman Abd Ghani

Pengarah i-Furqan, Profesor Dr. Abd Rahman Abd Ghani berkata, pembinaan budaya kerja positif, identiti institusi serta semangat kekitaan dalam kalangan warga fakulti merupakan asas paling kritikal dalam menentukan hala tuju dan kecemerlangan entiti yang baharu ditubuhkan itu.

“Sebagai sebuah fakulti baharu, pembinaan identiti dan semangat kekitaan amat penting. Saya berharap Liqa Mahabbah ini dapat diteruskan secara bulanan sebagai wadah interaksi dua hala yang berterusan.

“Mahasiswa juga diseru agar tidak sekadar mengejar kecemerlangan akademik semata-mata, sebaliknya meletakkan adab, integriti dan disiplin sebagai teras utama pembentukan diri ke arah melahirkan murabbi sejati,” katanya ketika merasmikan program berkenaan.

Timbalan Pengarah 2 i-Furqan, Profesor Madya Dr. Mohd Noor Mohd Daud.

Majlis tersebut turut menyaksikan pelancaran inisiatif AIM (Agama, Akhlak, Adab, Ilmu dan Maharat) serta Garis Panduan Etika Pemakaian mahasiswa yang disempurnakan oleh Timbalan Pengarah 2 i-Furqan, Profesor Madya Dr. Mohd Noor Mohd Daud.

Pengisian program diteruskan dengan tayangan montaj barisan pengurusan, alunan tilawah al-Quran dan sesi Bicara Mahabbah oleh Pensyarah i-Furqan, Profesor Madya Dr. Ahmad Zulfiqar Shah Abdul Hadi, yang menekankan persediaan sahsiah bagi bakal guru Pendidikan Islam dan Guru Tahfiz.

Perbincangan bersama Penasihat Akademik

Bagi mengakhiri sesi, mahasiswa meluangkan masa bersama Penasihat Akademik (PA) masing-masing bagi membincangkan perkembangan pengajian serta pembangunan sahsiah secara lebih personal dan berfokus.

Penganjuran ini membuktikan komitmen i-Furqan dalam memacu ekosistem pendidikan holistik, sekali gus merealisasikan aspirasi melahirkan pendidik yang mampu bertindak sebagai pemimpin dan pemangkin transformasi ummah.

Total Views: 3