Teks/foto : Pasukan debat Bahasa Inggeris Universiti Sains Malaysia
Suntingan : Unit Media dan Penerbitan BHEPA

PULAU PINANG, 30 Oktober 2026 – Pasukan debat Bahasa Inggeris Universiti Sains Malaysia melakar pencapaian membanggakan apabila muncul Juara Kategori Muda (Novice Champions) dalam Malaysian National Intervarsity Debating Championship (MNIDC) 2026 yang berlangsung di Multimedia University (MMU) Cyberjaya, pada 25 Oktober 2026.
Kejayaan ini merupakan gabungan mantap dua pelajar Tahun 1, iaitu Fareez Farhan bin Badrun dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik serta Belynna Kalai dari Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan yang mempamerkan ketajaman hujah dan kematangan berdebat sepanjang kejohanan berlangsung.
Pasukan pendebat Bahasa Inggeris USM turut diwakili oleh empat pasukan secara keseluruhan dengan salah satu pasukan berjaya mara sehingga ke peringkat suku akhir; membuktikan kedalaman bakat dan kekuatan pasukan debat universiti di pentas nasional.
Pertandingan edisi kali ini menyaksikan persaingan sengit daripada 72 buah pasukan yang mewakili pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT) terkemuka tanah air.
Menjelang peringkat akhir, gandingan USM ini terus mempamerkan prestasi cemerlang apabila berjaya mengetepikan cabaran hebat daripada pasukan Universiti Malaya, Curtin University dan Kolej MARA Seremban.
Pencapaian berprestij ini bukan sahaja mengharumkan nama USM dalam arena debat antara universiti, malah menjadi pemangkin semangat buat pasukan universiti untuk terus mengukir kejayaan pada masa akan datang.













