Oleh : Setiausaha Baktisiswa Perdana
Foto : Unit Media Kor SUKSIS USM

USM PULAU PINANG, 19 Jun 2026 – Seramai 253 anggota Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS) daripada 17 buah Universiti Awam (UA) seluruh negara menyertai Program Baktisiswa Perdana “SUKSIS Berjasa, Aspirasi MADANI” Peringkat Kebangsaan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim.
Program berimpak besar yang berlangsung dari 11-14 Jun 2026 ini diselaraskan oleh Universiti Sains Malaysia dengan kerjasama dan penajaan penuh daripada Yayasan Perkasa Siswa serta Majlis Perwakilan Pelajar USM.
Sepanjang program berjalan, kesemua mahasiswa ditempatkan bersama keluarga angkat di 13 buah kampung bagi menjayakan pelbagai aktiviti kemasyarakatan yang diintegrasikan dengan Matlamat Pembangunan Mampan 11 (Bandar dan Masyarakat Mampan) dan 17 (Kerjasama Demi Matlamat).



Antara pengisian utama termasuklah sesi suai kenal (Meet & Greet), taklimat hala tuju pendidikan buat lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di SMK Simpang Bekoh, dan aktiviti keceriaan ‘Warna Warni SUKSIS’ di Pertubuhan Yayasan Anak-anak Yatim Jasin.
Selain itu, para peserta turut mengadakan gotong-royong di Dewan Tun Mamat Chohong, aktiviti merewang, ceramah agama bersama Ustaz Manis di Masjid As Sajidin, serta penganjuran sukan rakyat tradisional seperti dam haji dan kurik kundi bagi merapatkan hubungan dengan penduduk setempat.

Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim, Yang Berhormat Datuk Khaidhirah Datuk Seri Abu Zahar, yang juga merangkap Timbalan EXCO Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET Negeri Melaka dan turut disokong oleh Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelasan DUN (JAPERUN) Rim, Encik Zulkifli Kalil.
Datuk Khaidhirah menyarankan agar golongan mahasiswa sentiasa proaktif dalam menyumbangkan tenaga serta idea bernas kepada masyarakat luar bandar, selaras dengan gagasan Malaysia MADANI yang meletakkan nilai ihsan, kesejahteraan, dan perpaduan sebagai teras utama.

Ketua Polis Melaka, Yang Dihormati DCP Dato’ Dzulkhairi Mukhtar, yang hadir menyempurnakan majlis penutupan, menyifatkan inisiatif Baktisiswa ini sebagai medium terbaik bagi mengasah kemahiran insaniah, disiplin, dan jati diri anggota SUKSIS sebagai persediaan menjadi pemimpin masa hadapan yang dekat di hati rakyat.
Rata-rata penduduk kampung dan keluarga angkat menzahirkan rasa gembira atas kehadiran para mahasiswa berkenaan yang bukan sahaja memeriahkan suasana kampung, malah menyuntik motivasi kepada anak-anak muda tempatan untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading.
Penganjuran program seumpama ini dilihat amat bertepatan dengan agenda H.E.B.A.T. (Holistic, Entrepreneurial, Balanced, Articulate, Thinking) dalam membentuk sahsiah mahasiswa yang holistik, di samping terus bersedia menabur bakti demi kelestarian masyarakat.












