Oleh : Siti Ruhaida Mohamed Radhi, Unit Media dan Penerbitan BHEPA USM
PULAU PINANG, 18 Oktober 2026 – Pesta Bola Jaring USM-Penang International Ke-32 terus mengukuhkan kedudukannya sebagai platform sukan yang menghimpunkan bakat dan semangat kesukanan apabila sebanyak 147 pasukan mengambil bahagian dalam lapan kategori pertandingan.
Berlangsung dari 16 hingga 18 Oktober 2026 di Kompleks Sukan Azman Hashim USM dan Kompleks Sukan USM, Pulau Pinang, kejohanan anjuran Pusat Sukan dan Rekreasi, BHEPA USM ini digerakkan sepenuhnya oleh mahasiswa dengan penglibatan 58 orang sekretariat dan tujuh orang Majlis Tertinggi bagi menjayakan penganjuran acara sukan berskala besar.

Sebanyak lapan kategori dipertandingkan, merangkumi Open Men, Open Women, Veteran, Institut Pengajian Tinggi (IPT), Bawah 12 Tahun, Bawah 15 Tahun, Bawah 18 Tahun dan Prasekolah (Jemputan) sekali gus menyediakan ruang kepada pemain pelbagai peringkat umur dan latar belakang untuk menguji keupayaan serta menyerlahkan potensi masing-masing.



Berteraskan moto “Build Unity, Through Sports”, kejohanan ini bukan sahaja menyemarakkan semangat kesukanan, malah menjadi medan bagi mahasiswa mengasah kemahiran kepimpinan, memperkukuh kecekapan pengurusan dan menimba pengalaman dalam penganjuran acara sukan berskala besar.
Selain menggalakkan gaya hidup aktif dan sihat melalui sukan bola jaring, kejohanan yang dianjurkan sejak tahun 1991 ini mencerminkan komitmen USM dalam menyatukan komuniti melalui sukan.














