Oleh : Shamsul Azli Shamsuray
KUALA LUMPUR, 26 Ogos 2026 – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Centre for Student Innovation & Technology Entrepreneurship (UTMXCITE) telah mengadakan program UTMXCITE Engagement with AI Innovators bertempat di Dewan Seminar, Menara Razak, UTM Kuala Lumpur.
Program ini melibatkan seramai 114 pelajar Sarjana Muda Kecerdasan Buatan dan bertujuan memberi pendedahan mengenai peluang membangunkan idea berasaskan kecerdasan buatan (AI) ke arah pembentukan startup, mendapatkan pembiayaan, menyertai program inkubasi serta meneroka potensi pengkomersialan teknologi.
Taklimat telah disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Syed Norris Hikmi Syed Abdullah, Pengarah UTMXCITE, yang berkongsi mengenai ekosistem inovasi dan keusahawanan UTM serta laluan yang boleh dimanfaatkan oleh pelajar untuk menterjemahkan pengetahuan dan idea teknologi kepada produk atau perkhidmatan yang mempunyai nilai pasaran.

“Pelajar perlu melihat AI bukan sekadar sebagai bidang akademik atau kemahiran teknikal, tetapi sebagai platform untuk mencipta penyelesaian kepada masalah sebenar dan seterusnya membangunkannya menjadi startup yang berpotensi untuk dikomersialkan,” katanya.
Sepanjang sesi tersebut, para pelajar turut didedahkan kepada proses pembangunan startup bermula daripada mengenal pasti masalah sebenar, membangunkan penyelesaian inovatif, menghasilkan prototaip, menguji kesesuaian pasaran serta membentuk model perniagaan yang mampan.
Pendedahan ini memberi peluang kepada pelajar memahami bahawa kemahiran dalam bidang AI bukan sahaja membuka laluan kerjaya sebagai tenaga profesional, malah berpotensi diterjemahkan kepada peluang keusahawanan teknologi, pembangunan produk digital dan penubuhan startup.
Turut hadir ialah Prof. Madya Dr. Nurulhuda Firdaus, Ketua Jabatan Intelligence Informatics, dan Ts. Dr. Noorlizawati Abd Rahim, Penyelaras Kursus AI for Tech Venture, yang bersama-sama menyokong pelaksanaan sesi engagement berkenaan dalam usaha memberi pendedahan lebih luas kepada pelajar mengenai potensi keusahawanan berasaskan teknologi AI, termasuk peluang membangunkan idea inovatif ke arah penubuhan startup dan pengkomersialan.
“Pendedahan kepada ekosistem startup memberi nilai tambah kepada pengalaman pembelajaran pelajar kerana mereka dapat melihat bagaimana pengetahuan AI boleh diterjemahkan daripada idea kepada produk, perkhidmatan dan penyelesaian yang mempunyai nilai kepada industri serta masyarakat,” kata Ts. Dr. Noorlizawati.
Program ini juga menjadi platform penting dalam menghubungkan pembelajaran akademik dengan realiti ekosistem inovasi dan keusahawanan semasa, khususnya dalam bidang AI yang berkembang pesat dan menawarkan pelbagai peluang baharu dalam ekonomi digital.

Melalui program seumpama ini, UTMXCITE terus memperkukuh peranannya dalam membina budaya inovasi dan keusahawanan dalam kalangan pelajar UTM, khususnya dengan menggalakkan lebih ramai pelajar berpotensi menjadi inovator, pencipta teknologi dan pengasas startup.
Inisiatif ini diharapkan dapat memperluas perspektif pelajar terhadap potensi bidang kecerdasan buatan, bukan sahaja sebagai laluan kerjaya profesional tetapi juga sebagai asas membangunkan penyelesaian teknologi berdaya saing yang mampu memberi impak kepada industri, masyarakat dan pembangunan ekonomi negara.












