Advertisement

Kor SUKSIS UiTM Dan JPJKK Selangor Perkukuh Sinergi Keselamatan Komuniti

Oleh : Mohd Rizal Nordin

Shah Alam, 8 Mei 2026 – Komandan Kor SUKSIS Universiti Teknologi MARA ,YDH ACP/KS Prof. Dr. Hj. Mohd Sazili Shahibi, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) telah mengadakan satu kunjungan hormat ke atas Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Selangor, YDH SAC Mohamad Fakhrudin Bin Abdul Hamid di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

Gambar 1 : Prof. Dr. Hj. Mohd Sazili Shahibi bersama YDH SAC Mohamad Fakhrudin Bin Abdul Hamid

Kunjungan tersebut turut disertai oleh Timbalan Komandan Kor SUKSIS UiTM, YDH SUPT/KS Prof. Madya Dr. Hj. Mohd Noor Jalil bersama empat orang Pegawai Kehormat Kor SUKSIS UiTM Shah Alam dan Puncak Alam.

Turut hadir ialah pegawai dan jurulatih Kor SUKSIS UiTM bagi memperkukuh hubungan strategik antara UiTM dan PDRM khususnya dalam aspek latihan, kepimpinan serta pembangunan sahsiah pelatih Kor SUKSIS.

Kunjungan hormat tersebut diadakan sebagai tanda penghargaan kepada pihak JPJKK Selangor di samping mempereratkan kerjasama dua hala yang telah lama terjalin antara kedua-dua institusi.

Dalam sesi pertemuan itu, kedua-dua pihak turut membincangkan pelbagai perkara berkaitan kerjasama latihan, pengukuhan disiplin pelatih, program kemasyarakatan serta usaha memperkasakan peranan Kor SUKSIS UiTM sebagai platform pembangunan mahasiswa berteraskan kepimpinan dan kepolisan komuniti.

Selain itu, perbincangan turut menyentuh mengenai cabaran semasa berkaitan keselamatan komuniti serta penglibatan mahasiswa dalam aktiviti kesukarelawanan bersama pihak PDRM bagi meningkatkan kesedaran sivik dan tanggungjawab sosial dalam kalangan pelajar.

Menurut Dr. Sazili, hubungan erat antara UiTM dan PDRM amat penting dalam memastikan pelatih Kor SUKSIS terus dibentuk sebagai mahasiswa yang berdisiplin, berintegriti dan mempunyai semangat kepimpinan yang tinggi.

“Kor SUKSIS bukan sahaja menjadi platform latihan kepolisan, malah berperanan membentuk mahasiswa yang mempunyai jati diri, disiplin, semangat kesukarelawanan dan keprihatinan terhadap keselamatan komuniti. Kerjasama strategik bersama PDRM ini amat penting dalam memperkukuh pembangunan mahasiswa secara holistik,” katanya.

Gambar 2: Dr Sazili dan pasukan dalam sesi perjumpaan bersama Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), IPK Selangor

Beliau turut berharap agar hubungan erat antara Kor SUKSIS UiTM dan JPJKK Selangor akan terus diperkukuhkan demi melahirkan graduan yang berdaya saing, berjiwa masyarakat dan sentiasa bersedia menyumbang kepada kesejahteraan komuniti serta negara.