Advertisement

UTM santuni 50 pesakit Muslim menerusi Ziarah Mahabbah di Hospital Kuala Lumpur

Oleh : Pusat Islam UTM Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR, 20 Okt. – Seramai 50 pesakit Muslim di dua wad Hospital Kuala Lumpur (HKL) menerima kunjungan menerusi program Tanggungjawab Sosial Universiti (USR), Lawatan Ziarah Mahabbah anjuran Pusat Islam Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur.

Program yang disertai lapan orang staf dan seorang pelajar pelatih Pusat Islam UTM Kuala Lumpur itu merupakan inisiatif kebajikan dan kerohanian yang berteraskan nilai ihsan, empati serta keprihatinan terhadap masyarakat. Pelaksanaannya turut mendapat kerjasama staf Unit Komunikasi Korporat HKL dan jururawat yang bertugas di wad berkenaan.

Staf dan pelajar pelatih Pusat Islam UTM Kuala Lumpur yang menyertai Lawatan Ziarah Mahabbah ke HKL

Sepanjang lawatan, para peserta berinteraksi dengan pesakit yang sedang menjalani rawatan bagi pelbagai masalah kesihatan, termasuk gastroenteritis, denggi, kanser dan penyakit hati. Kunjungan tersebut bertujuan memberikan sokongan moral dan spiritual, menyuntik semangat positif serta menyampaikan mesej bahawa pesakit tidak bersendirian dalam menghadapi cabaran kesihatan.

Sebagai tanda keprihatinan, sebanyak 50 set sumbangan disampaikan kepada pesakit Muslim yang dilawati. Setiap sumbangan merangkumi kit kebersihan diri, buku Yasin, risalah doa, panduan kaedah solat ketika sakit dan bola terapi stres. Selain membantu memenuhi keperluan pesakit, sumbangan itu diharapkan dapat memberikan ketenangan jiwa serta mengukuhkan kekuatan emosi dan spiritual mereka sepanjang tempoh rawatan.

Sumbangan daripada Masjid UTM Kuala Lumpur diserahkan kepada pesakit Muslim di wad HKL

Program ini turut mencerminkan aspirasi UTM untuk menjadi institusi pendidikan tinggi yang bukan sahaja memberi tumpuan kepada kecemerlangan akademik dan penyelidikan, malah turut menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat menerusi pendekatan Pusat Penyembuhan Komuniti yang mengutamakan pembangunan insan dan hubungan kemanusiaan.

Di samping menyantuni pesakit, Ziarah Mahabbah menjadi wadah untuk memupuk nilai kemanusiaan dalam kalangan warga universiti. Pendedahan secara langsung kepada kehidupan pesakit membuka ruang kepada peserta untuk menghayati erti kesabaran, keinsafan dan kesyukuran terhadap nikmat kesihatan. Pengalaman tersebut juga menyemai budaya kesukarelawanan, empati dan tanggungjawab sosial dalam pembentukan warga universiti yang prihatin terhadap masyarakat.

Wakil Pusat Islam UTM Kuala Lumpur membacakan doa untuk kesejahteraan pesakit

Elemen dakwah secara bil hal, iaitu penyampaian mesej Islam melalui amalan dan tindakan, turut diterapkan menerusi kunjungan mesra, pemberian sumbangan dan bacaan doa untuk pesakit. Pendekatan ini memperlihatkan bagaimana perhatian dan sokongan yang diberikan secara ikhlas, meskipun sederhana, boleh membawa makna kepada individu yang sedang menghadapi kesukaran.

Selain memberikan manfaat kepada pesakit, program ini turut membuka ruang untuk memperkukuh hubungan antara UTM Kuala Lumpur dengan HKL bagi meneroka pelaksanaan inisiatif kebajikan dan khidmat komuniti pada masa hadapan.

Penyerahan cenderahati kepada wakil Unit Komunikasi Korporat HKL sebagai tanda penghargaan atas kerjasama yang diberikan

Secara keseluruhannya, Lawatan Ziarah Mahabbah memperlihatkan usaha berterusan Pusat Islam UTM Kuala Lumpur dalam menyemarakkan nilai ihsan dan memperluas sumbangan universiti kepada masyarakat. Inisiatif seumpama ini menyokong aspirasi UTM untuk membina masyarakat yang prihatin, inklusif dan sejahtera melalui pendekatan yang menghubungkan ilmu, nilai dan khidmat kepada insan.

Sumber : UTM NewsHub

Total Views: 1