Oleh : Muhamad Syafik Rahmat
PULAU PANGKOR, 20 Okt. – Seramai 50 warga Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menyertai Misi Bantuan Banjir Pulau Pangkor pada 19 hingga 20 Oktober 2026 bagi membantu penduduk terjejas memulihkan kediaman dan persekitaran mereka, selain menyalurkan bantuan makanan serta menyediakan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan.
Misi kemanusiaan yang digerakkan oleh Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTM itu melibatkan 15 staf UTM Kuala Lumpur dan 35 mahasiswa daripada Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI) serta Institut Antarabangsa Teknologi Malaysia-Jepun (MJIIT), UTM Kuala Lumpur.
Misi di lapangan diketuai oleh Pengarah Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UTM Kuala Lumpur, Ir. Ts. Dr. Mohd Azlan Abu, dengan memberi tumpuan kepada tiga bentuk bantuan utama, iaitu kerja pembersihan pascabanjir, penyaluran 60 beg makanan dan penyediaan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan kepada penduduk setempat.
Selain menghulurkan sumbangan, kehadiran warga UTM turut membawa mesej keprihatinan dan sokongan kepada komuniti yang sedang berusaha membina semula kehidupan selepas dilanda banjir. Sebanyak 60 beg makanan disalurkan kepada penduduk terjejas dengan turut disampaikan oleh Datuk Haji Mohd Rafiq Haji Mohd, Pegawai Khas kepada Menteri Besar Perak bagi Zon Pangkor.
Pada masa yang sama, sukarelawan mahasiswa UTM berganding bahu melaksanakan kerja gotong-royong dan pembersihan di kawasan terjejas bagi membantu penduduk memulihkan keadaan kediaman serta persekitaran komuniti mereka.
Usaha bantuan turut merangkumi aspek kesihatan apabila Pusat Kesihatan Universiti (PKU) UTM menyediakan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan di Dewan Serbaguna, Kampung Teluk Kechil, Pulau Pangkor. Perkhidmatan yang ditawarkan termasuk pemeriksaan kesihatan umum, saringan tekanan darah, ujian paras gula dalam darah serta khidmat nasihat kesihatan kepada penduduk setempat.
Perkhidmatan tersebut penting dalam fasa pemulihan pascabanjir kerana penduduk bukan sahaja perlu menangani kerosakan kediaman, malah perlu memberikan perhatian kepada kebersihan persekitaran, pencegahan penyakit dan kesejahteraan diri.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTM, Prof. Dr. Mohd Shahrizal Sunar, berkata penglibatan warga universiti dalam misi kemanusiaan itu mencerminkan tanggungjawab sosial UTM untuk menterjemahkan ilmu, kepakaran dan nilai kemanusiaan kepada tindakan yang memberikan manfaat kepada masyarakat.
“Apabila masyarakat berdepan musibah, universiti tidak seharusnya hanya menjadi pemerhati. Kita mahu warga UTM, khususnya mahasiswa, hadir sebagai sebahagian daripada penyelesaian dengan menyumbangkan tenaga, kepakaran dan keprihatinan kepada mereka yang memerlukan.
“Mungkin bantuan yang kita hulurkan tidak mampu menggantikan segala kehilangan akibat banjir, tetapi sekurang-kurangnya kehadiran kita dapat meringankan beban dan memberikan kekuatan kepada komuniti untuk kembali bangkit. Inilah makna sebenar pendidikan yang berteraskan nilai kemanusiaan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa pengalaman menyertai misi kemanusiaan merupakan antara pendekatan penting dalam pembangunan mahasiswa secara holistik, khususnya untuk membentuk empati, daya tahan, kepimpinan dan rasa tanggungjawab terhadap masyarakat.

Sementara itu, Ir. Ts. Dr. Mohd Azlan berkata penglibatan 35 mahasiswa daripada FAI dan MJIIT memperlihatkan bahawa mahasiswa universiti teknikal bukan sahaja berupaya menyumbang dalam bidang teknologi dan inovasi, malah turut memainkan peranan dalam menangani cabaran sosial dan kemanusiaan.
“Di bilik kuliah, mahasiswa mempelajari ilmu dan kemahiran untuk menyelesaikan masalah. Namun, di lapangan seperti ini, mereka belajar memahami manusia di sebalik setiap permasalahan. Apabila mahasiswa sendiri turun membersihkan kawasan yang terjejas, menghulurkan bantuan dan berinteraksi dengan penduduk, mereka bukan sahaja menyumbang kepada komuniti, tetapi turut membina karakter dan jiwa kepimpinan yang lebih prihatin serta bertanggungjawab,” katanya.
Menurut beliau, penggemblengan tenaga staf, mahasiswa dan kepakaran kesihatan dalam satu misi turut memperlihatkan usaha UTM melaksanakan bantuan kemanusiaan secara menyeluruh dan responsif terhadap keperluan masyarakat.
Bagi mahasiswa yang terlibat, penyertaan dalam misi itu turut menyediakan pengalaman pembelajaran di luar kampus. Melalui penglibatan secara langsung bersama komuniti, nilai kerjasama berpasukan, empati dan tanggungjawab sosial dapat diterapkan dalam situasi sebenar.
Pelaksanaan misi ini selaras dengan aspirasi UTM ASCEND 2030 untuk memperkukuh pembangunan bakat holistik dan memperluas impak universiti kepada masyarakat melalui penggemblengan ilmu, kepakaran serta jaringan kerjasama strategik.
Inisiatif tersebut turut mencerminkan penghayatan falsafah UTM, “Kerana Tuhan Untuk Manusia”, yang menekankan kepentingan memanfaatkan ilmu dan keupayaan untuk membawa kebaikan kepada kehidupan manusia.
Sehubungan itu, UTM komited untuk terus memperkukuh budaya kesukarelawanan dan jaringan kerjasama dengan agensi serta komuniti setempat bagi meningkatkan keupayaan warga universiti menyumbang kepada usaha kesiapsiagaan, bantuan kecemasan dan pemulihan pascabencana.
Sumber : UTM NewsHub
















