Oleh: Aniq Aiman Hairulbadrishah
KUALA NERUS, 1 Julai 2026: Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melalui Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) memperkukuh komitmen terhadap kebajikan mahasiswa dengan menganjurkan Program Bekwoh Dapur Siswa MADANI @UMT. Program berkonsepkan gotong-royong ini berlangsung di Dapur Siswa MADANI @UMT dan Serambi Siswa dengan penyertaan warga HEPA bersama sukarelawan pelajar bagi menyediakan 1,000 pek makanan tengah hari percuma untuk mahasiswa.
Program ini merupakan inisiatif sulung di bawah jenama Dapur Siswa MADANI @UMT dan menjadi titik permulaan kepada pengoperasian rasmi dapur berkenaan. Pelaksanaannya sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai ihsan, kebersamaan dan kesejahteraan masyarakat, di samping memperkukuh agenda kebajikan mahasiswa secara berterusan.Program ini merupakan inisiatif sulung di bawah jenama Dapur Siswa MADANI @UMT dan menjadi titik permulaan kepada pengoperasian rasmi dapur berkenaan. Pelaksanaannya sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai ihsan, kebersamaan dan kesejahteraan masyarakat, di samping memperkukuh agenda kebajikan mahasiswa secara berterusan.
Selain meringankan beban kos sara hidup pelajar, program ini turut menyemai semangat darmabakti, kerjasama dan budaya saling membantu dalam kalangan warga kampus. Melalui pengoperasian Dapur Siswa MADANI, UMT berhasrat mewujudkan ekosistem kebajikan yang lebih sistematik, inklusif dan mampan, sekali gus memastikan keperluan asas mahasiswa sentiasa diberi perhatian.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT, Profesor Dr. Mohd Izani bin Mohd Zain berkata, program ini menjadi simbol permulaan kepada sebuah inisiatif kebajikan yang akan terus diperkasakan demi kesejahteraan pelajar.
“Melalui Dapur Siswa MADANI @UMT, kita bukan sahaja menyediakan bantuan makanan, tetapi membina ekosistem kebajikan yang menyemai nilai ihsan, kesukarelawanan dan kebersamaan dalam kalangan warga universiti. Ia manifestasi komitmen UMT untuk memastikan tiada mahasiswa tercicir daripada menerima perhatian dan sokongan sewajarnya,” katanya.
Sebanyak 1,000 pek makanan percuma diagihkan kepada mahasiswa bermula jam 12.30 tengah hari, mendapat sambutan amat menggalakkan daripada komuniti kampus. Inisiatif ini membuktikan kesungguhan UMT dalam memastikan kebajikan pelajar sentiasa menjadi keutamaan melalui program yang memberi impak langsung kepada mahasiswa.

Ketua Sukarelawan Pelajar Dapur Siswa MADANI @UMT, Muhammad Syafiq Haiqal bin Abdullah berkata, inisiatif sebegini memberikan manfaat besar kepada mahasiswa. “Di kolej tidak dibenarkan memasak, jadi dengan adanya dapur ini pelajar boleh memasak sendiri menggunakan bahan yang disediakan. Hal ini dapat menjimatkan perbelanjaan,” ujarnya.
Lebih daripada sekadar penyediaan makanan, program ini turut memperkukuh hubungan antara pengurusan universiti, warga HEPA dan mahasiswa dalam suasana mesra serta penuh muafakat. Semangat bekerjasama yang dizahirkan mencerminkan budaya kerja berpasukan dan nilai kemanusiaan yang menjadi teras pembangunan komuniti kampus.
Terdahulu, Kerajaan MADANI telah memperuntukkan sebanyak RM26 juta dalam Belanjawan MADANI 2026, yang diperkukuh dengan tambahan RM15 juta untuk dimanfaatkan sepenuhnya oleh mahasiswa di semua institusi pendidikan tinggi awam.












